Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Rakyat kawasan saya tak perlu angkat bendera putih, hubungi saja’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali meminta penduduk di kawasannya tidak mengangkat bendera putih bagi meminta bantuan.

Sebaliknya, dia meminta mereka menghubungi wakil-wakil di kawasan Dewan Undangan Negeri yang berkenaan untuk melaporkan kesulitan yang dihadapi.

“Rakyat saya di Kuala Nerus tidak perlu angkat bendera putih. Hubungi sahaja pasukan kerja saya. Cukuplah pasukan kami mengetahui kesusahan anda.

“Tugas anda ialah meminta bantuan apabila diperlukan dan tugas kami ialah membantu anda.

“Terkini kami telah menerima sebanyak 7,300 permohonan bantuan dalam masa sebulan Jun ini dan sebanyak 5,810 telah menerima bantuan mereka menerusi JPKK masing-masing,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Wakil dari DUN Buluh Gading boleh menghubungi di talian 013-9267731 (ustaz Yusrizal), DUN Tepoh di talian 013-9287731 (Yusof), DUN Bukit Tunggal di talian 019-9367731 (ustaz Azzam) dan DUN Seberang Takir di nombor 019-2937731 (Azmi).

Manakala mereka yang merupakan perantau di luar Kuala Nerus boleh menghubungi 019-2917731 (Amir).

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS seperti ahli parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar menganggap tindakan mengibar bendera putih sebagai tanda mengalah.

Kenyataan itu hadir ketika sejumlah pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih.

Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.

Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.