Skip to main
Logo Malaysiakini

PMO: RM300k untuk setiap parlimen bagi pertingkatkan program bakul makanan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peruntukan RM300,000 yang diberikan kepada semua anggota parlimen untuk bakul makanan adalah di atas program bakul makanan yang sedang berjalan, jelas Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang tadi.

Program sedia ada "diteruskan dan dipertingkatkan" bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan dengan psekatan pergerakan Covid-19, katanya.

"Tambahan program ini yang melibatkan agihan peruntukan sebanyak RM300 ribu diberikan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk ahli parlimen Pembangkang.

"Peruntukan ini bagi memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara," kata PMO dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa peruntukan RM300,000 ini akan diagihkan kepada ahli parlimen mulai hari ini. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan inisiatif itu pada hari Isnin (28 Jun) sebagai sebahagian darioada pakej bantuan Pemulih.

Untuk kawasan pilihan raya tanpa ahli parlimen, peruntukan akan disalurkan ke majlis daerah.

Majlis Daerah dan Tanah Hulu Perak akan mengurus peruntukan Gerik sementara RM300,000 untuk Batu Sapi akan diagihkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan.

PMO tidak menjelaskan alasan kenyataan itu dikeluarkan tetapi penjelasan itu dibuat setelah dua ahli parlimen pembangkang menyatakan bahawa peruntukan RM300,000 hanya mencukupi untuk 3,000 penerima.

Ini mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kawasan parlimen yang lebih besar.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memberitahu bahawa kerajaan telah memberikan senarai 13 barang kepada setiap anggota parlimen untuk setiap bakul makanan.

Ia juga menyatakan bahawa setiap bakul mesti mengandungi makanan bernilai RM100.

"Baru terima spesifikasi penggunaan RM300,000 untuk Ahli Parlimen beli bakul makanan. 

"Nilai RM100 sebakul bermaksud kami hanya boleh agih kepada 3,000 keluarga. Untunglah Ahli Parlimen Putrajaya berbanding Ahli Parlimen Damansara atau Bangi. Baca terma-terma yang lain," katanya.

 

Ong juga menulis ciapan di Twitter bahawa peruntukan RM300,000 akan memanfaatkan hanya 0.6 peratus daripada pengundinya di Bangi.

"Kawasan parlimen saya mempunyai lebih dari 187,000 pengundi (dan dianggarkan lebih 500,000 penduduk).

"Ini bermaksud bakul makanan ini akan mencapai 1.6 peratus pengundi atau 0.6 peratus penduduk," katanya.

Berdasarkan data PRU14, Bangi (178,790) mempunyai kira-kira enam setengah kali lebih banyak pengundi daripada Putrajaya (27,306).

Damansara (164,322), sementara itu, mempunyai sekitar enam kali lebih banyak pengundi daripada Putrajaya.

Jumlah pengundi ini ditentukan oleh pelaksanaan persempadanan semula tahun 2016 yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Penjelasan PMO juga hadir di tengah kempen #BenderaPutih yang digerakkan oleh rakyat.

Dilancarkan beberapa hari yang lalu, kempen tersebut menyarankan mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan menaikkan bendera putih di depan kediaman sebagai tanda memerlukan bantuan segera.

Pasar raya, stesen minyak, restoran, perniagaan, NGO dan parti politik sejak itu tampil untuk membantu mereka yang telah menaikkan bendera putih.

Beberapa kes melibatkan keluarga terdesak mendapat manfaat daripada kempen tersebut.