Skip to main
Logo Malaysiakini

KPKT: Pindah rumah dibenarkan semasa fasa 1 pelan pemulihan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Urusan perpindahan di hartanah strata dan bertanah adalah dibenarkan dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa serta-merta, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam satu kenyataan hari ini, KPKT memaklumkan keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Pemilik hartanah berkenaan perlu mendapatkan kebenaran polis bagi diri mereka dan pengendali perpindahan serta pemohon perlu memaklumkan tarikh dan masa perpindahan serta maklumat pengendali perpindahan kepada pihak pengurusan strata.

“Urusan pemasangan baru perkhidmatan Internet dan komunikasi di bawah Sektor Penyenggaraan Bangunan dan Fasiliti serta Sektor Pengurusan Strata turut dibenarkan susulan pindaan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, perpindahan dan pemasangan baru perkhidmatan Internet dan komunikasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.

SOP Pengurusan Strata yang telah dikemas kini boleh dimuat turun di laman web KPKT di www.kpkt.gov.my.

Sementara itu, kerja pemasangan keperluan asas seperti jeriji besi dan perkakasan elektrik bagi membolehkan sesuatu hartanah selamat didiami adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya dan boleh diperoleh di www.cidb.gov.my.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Perbandaran (Sektor Pengurusan Strata) KPKT di talian 03- 8891 4330/ 4347.

-Bernama