Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bendera putih: Kenapa rakyat masih menderita?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Pada suatu malam, ketua bagi seluruh orang beriman, Tuan Guru Umar al-Khattab al-Sohabi al-Jalil keluar meninjau keadaan penduduk Madinah bersama pembantunya, Aslam.

Beliau mahu mengenal pasti sendiri sebarang masalah yang dialami oleh rakyat negeri itu. Ia adalah rutin biasa tuan guru. Di sebalik kedudukannya yang begitu tinggi, beliau turun padang mencari rakyat yang kesempitan, bukan menunggu untuk dicari.

Ditakdirkan Tuan Guru Umar bertemu seorang wanita di luar kota Madinah. Wanita itu sedang memasak sesuatu yang bukan makanan semata-mata mahu memujuk dan mengelabui anak-anaknya yang kelaparan. Tuan Guru itu duduk dan sedih melihat wanita tersebut.

Berlakulah dialog di antara mereka sehingga wanita tadi meninggikan suara mengadu kepada Allah.

“Aku mengadu pada Allah tentang Umar," katanya beberapa kali. Tuan Guru yang berada di situ bertanya: "Wahai amah (hamba) Allah, bagaimanakah Umar dapat tahu tentang engkau sedangkan engkau berada di lembah ini?”

“Apakah beliau sanggup menerima urusan kepimpinan negara tetapi melupakan kami di sini?” Jawab si ibu tadi.

Maka Tuan Guru Umar al-Faruq mengalirlah air matanya. Beliau menangis semahunya dan kembali ke kota Madinah dengan segera. Bergegaslah beliau secepat mungkin menuju ke stor simpanan makanan negara.

Tuan Guru Umar terus mengarahkan penjaga yang bertugas agar meletakkan bungkusan tepung di belakangnya. Usianya ketika itu sudah menjangkau 50 tahun.

Teragak-agak, penjaga gudang simpanan bertanya: “Apakah sungguh tuan mahu mengangkatnya?”

"Letakkan sahaja tepung itu di belakangku. Siapakah yang akan menanggung bebanku di hari kiamat nanti?” Jawab Umar.

Ada tak percaya langsung

Itulah secebis kisah menarik tentang amirul mukminin, Sayidina Umar al-Khattab. Tuan Guru yang juga merupakan sahabat rapat kepada baginda Rasulullah SAW.

Selepas mengetahui kesusahan rakyatnya, beliau bergegas ke stor simpanan makanan untuk mengambil bekalan agar kelaparan keluarga yang malang itu dapat ditamatkan.

Terus saja Tuan Guru Umar al-Khattab memikul sendiri makanan tersebut dengan kudratnya dan setelah sampai, beliau duduk seketika di rumah wanita berkenaan sementara bekalan itu dimasak.

Masih tidak mengenali lelaki yang ada di depannya, wanita terbabit sempat memuji Umar tanpa mengetahui orang yang di hadapannya itulah Umar.

“Sesungguhnya tuan lebih layak menjadi khalifah berbanding si Umar!” Kata wanita itu.

Kisah ini selalu diceritakan oleh ramai ulama termasuk guru kami Sheikh Ibnu Uthaimin yang berkisah sambil menangis sebak mengenang hebatnya Umar menjaga kebajikan rakyat.

Umar seorang tuan guru sekali gus pemimpin yang sangat takutkan Allah.

Kira-kira 1,400 tahun kemudian, di sebuah negara yang sedang dilanda kesusahan persis penduduk di sekitar kota Madinah yang diuji kesengsaraan, para pemimpinnya memberikan respon dengan bermacam-macam cara apabila rakyat mengadu tentang susahnya untuk hidup.

Malah ramai yang menamatkan kehidupan dengan kematian mengejut. Rakyat sendiri mempunyai pelbagai pendirian terhadap pemimpin negara. Ada yang masih percaya. Ada yang sudah tidak endah. Ada yang tidak percaya langsung tentang kebajikan dari atas.

Maka mereka berpakat menjaga sesama rakyat. Mereka mencadangkan kepada rakyat yang sengsara agar angkatlah bendera putih sebagai isyarat kesempitan dan perlukan bantuan.

Kalau mahu bermain dalil

Dalam sebuah video yang ditularkan rakyat, Sabri Yunus, seorang artis - yang jawatan ini tidak pernah wujud pada zaman Tuan Guru Umar al-Khattab - memberikan anologi tepat dan cantik tentang bagaimana rakyat seharusnya bertindak jika dalam kesusahan.

Jika ada bantuan yang datang, terimalah tanpa berlengah lagi. Konsep berdoa dengan usaha dihurai cantik oleh Pok Ya Congcodei dengan penegasan bahawa kadang-kadang Allah memberikan bantuan-Nya melalui manusia.

Kisah Umar adalah kisah pemimpin mencari rakyat yang susah. Kisah Sabri adalah kisah rakyat menerima bantuan yang diberikan. Persoalan seterusnya; bagaimana ia dipertemukan?

Bagaimana pemimpin dapat ditemukan dengan rakyat yang susah jika tiada banjir, tiada kebakaran, tiada keruntuhan tetapi sedang menderita kelaparan dalam rumah?

Bagaimana pula rakyat tadi boleh menerima bantuan sedangkan tiada siapa yang datang ke rumahnya?

Di sinilah munculnya idea mengangkat bendera putih agar menjadi titik temu di antara pemimpin di atas dan rakyat yang susah di bawah. Ia malah menemukan rakyat yang mampu membantu dengan rakyat mahukan bantuan.

Proses itu dimudahkan oleh sehelain kain bewarna putih. Sengaja dipanggil bendera untuk memudahkan semua pihak walaupun ia mungkin hanya kain basahan yang lusuh. Asalkan putih. Putih itu kan lambang keharmonian.

Apakah rakyat perlukan seperenggan fatwa agama untuk mengangkat bendera putih? Apakah mereka perlu merujuk orang alim untuk memberitahu mereka lapar, atau untuk meminta cara halal dalam agama untuk memberitahu kelaparannya teramat sangat?

Adakah lapar ini beragama? Apakah lapar orang Islam berbeza dengan lapar orang bukan Islam? Maka orang Islam memberitahu kelaparan dengan berdoa kemudian berdiam diri, manakala yang bukan Islam, mengangkat bendera putih kemudian datanglah wakil rakyat atau wakil kepada wakil rakyat membantu?

Jika mahu bermain dalil, kita ambil sahaja kaedah fiqh yang digariskan para ulama bahawa setiap sesuatu perbuatan yang bukan berkaitan ibadah dan ketuhanan itu adalah harus dilakukan selagi mana tiada pengharaman daripada al-Quran dan Sunnah.

Maka, tiada salahpun mengangkat bendera atau menulis perkataan besar-besar pada papan dan diletakkan di hadapan rumah, ataupun menelefon pejabat wakil rakyat untuk meminta bantuan.

Lakukan sahaja apa yang sesuai.

Kesusahan rakyat hari ini bukanlah kerana tiadanya pemimpin negara, atau tiadanya wakil rakyat dan tiadanya bantuan berjuta-juta kepada penyokong kerajaan. Semua itu ada.

Derita terus derita

Tetapi kenapa rakyat masih lagi menderita? Kenapa ada yang tergamak membunuh diri? Kenapa masih ada anak-anak kecil yang kehabisan susu? Derita hari ini tidak seperti biasa.

Wakil rakyat yang bermegah dengan nombor telefon pejabat mereka sudah pasti tidak mampu menanggung ribuan penduduk di kawasannya yang kehilangan kerja, kehilangan separuh gaji, kehilangan kontrak kerajaan dan kehilangan kebahagiaan.

Justeru, apa salahnya rakyat bertindak membantu rakyat yang lain? Jika nampak bendera putih, jiran sebelah boleh membantu tanpa menunggu wakil rakyat datang entah bila.

Bukannya petugas-petugas mereka itu tiada kerja lain. Mereka juga mahu mencari nafkah sendiri. Sedang yang menderita terus menderita. Di sinilah peranan bendera putih tersebut. Malah itu adalah cara cepat dan segera untuk wakil rakyat datang bantu.

Juga cara secepat mungkin untuk jiran sekeliling tahu dan bantu.

Tanpa bendera putih, bagaimana semua orang tahu penghuninya sedang derita? Tanpa bendera putih, apakah wakil rakyat akan hadir ke rumah tersebut? Tentu sukar. Dengan kehadiran mereka di rumahnya, secara spontan dapat meninjau kedudukan sebenar penghuni rumah, benarkah susah, tipukah kesusahan mereka dan sebagainya.

Bukankah proses penilaian itu lebih mudah berbanding hanya menerima borang yang diisi oleh mereka atau wakil-wakil parti di kawasan tersebut?

Beginilah, jika tidak mampu menjadi Tuan Guru Umar, jangan halang rakyat membantu rakyat melalui mesej bendera putih yang diangkat oleh penghuni rumah yang kesusahan.

Biarlah rakyat diberi peluang menjadi 'Umar-Umar kecil' ketika pemimpin negara masih menguruskan perut yang meragam di hospital, atau berkenduri di dusun durian dan berkempen menaikkan bendera hijau tanpa perlu rakyat berasa perit melihat telatah hodoh mereka yang hanya tahu keuntungan partinya sahaja.


OMAR ELBARITI adalah pembaca Malaysiakini dan pernah istiqamah membaca Harakahdaily dan kini terlibat dengan NGO Bismi untuk membantu gelandangan di Kuala Lumpur melalui program kebajikan dan pengajian agama.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.