Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes animasi: Polis siasat kartunis Amin Landak, penganjur FreedomFilmFest

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat dua individu berkaitan dengan penyiaran animasi selama empat minit yang dikatakan berdasarkan keterangan seorang remaja lelaki yang mendakwa diseksa ketika berada dalam tahanan polis bersama dua rakannya.

Freedom Film Network (FFN) - penganjur festival filem dokumentari hak asasi manusia tahunan FreedomFilmFest telah mengadakan tayangan perdana animasi yang berjudul 'Chilli Powder & Thinner' itu pada 12 Jun lalu.

FFN berkata pengasasnya Anna Har dan kartunis Amin Landak telah dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat pada pukul 2.30 petang hari ini.

Har dan Amin disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 dan 505B Kanun Keseksaan.

"Sangat mengganggu bahawa polis memilih untuk menyiasat artis dan aktivis yang menimbulkan kebimbangan serius terhadap kematian, penyeksaan, penyalahgunaan dan salah laku oleh polis.

"Ini berbanding tindakan menangani keganasan dan kemudaratan yang muncul berulang kali, terutama pada masa beberapa bulan lali," kata FFN malam tadi.

Kartunis Amin Landak.

"Mengapa pihak berkuasa memilih untuk bertindak terhadap utusan tersebut, dan bukannya menangani pesan mendesak ini?

"Kami melihat penyiasatan ini sebagai bentuk intimidasi dan gangguan terhadap pembela hak asasi manusia, termasuk artis dan pencerita," kata kumpulan itu.

FNN juga berikrar untuk bersetiakawan dengan Har dan Amin, yang juga terkenal dengan karya 'Yak bok te!' di sudut Cartoon Kini.

Animasi 'Chilli Powder and Thinner’ terbitan Suaram dikatakan digarap berdasarkan kisah benar seorang remaja berusia 16 tahun yang ditangkap dan dipukul oleh polis bersama dua individu lain.

Dalam animasi itu, mereka dipaparkan diikat dan dipukul dengan benda seperti cota kayu dan getah paip, sebelum badan mereka dilumurkan dengan serbuk cili dan cecair thinner.

Animasi itu juga dilancarkan susulan sekurang-kurangnya empat kes kematian yang dilaporkan secara meluas dalam tahanan polis dari pertengahan April hingga Jun tahun ini.

[Baca laporan asal]