Skip to main
Logo Malaysiakini

Yeoh gesa beri vaksin di lokasi PKPD, termasuk pada bukan warganegara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan melaksanakan vaksinasi di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), tanpa mengira status mereka.

Yeoh berkata dengan kaedah ini, sumber yang ada dapat digunakan dengan berkesan dan akan mencegah PKPD dilaksanakan di kawasan yang sama berulang kali pada masa akan datang.

"Saya menggesa supaya vaksinasi segera diberikan kepada semua orang yang tinggal di dalam kawasan PKPD (tanpa mengira kewarganegaraan mereka) setelah mereka diuji negatif Covid-19.

"Keutamaan kita semasa tempoh pandemik ini adalah soal keselamatan dan kesihatan setiap orang – meliputi semua orang di dalam negara - ini termasuklah kehidupan warga asing yang tinggal di kalangan kita. Virus ini tidak membezakan antara warga tempatan mahupun warga asing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Yeoh, baru-baru ini kawasan perumahan yang mempunyai warga asing yang begitu ramai seperti di Kampung Sungai Penchala dan Kampung Segambut Dalam terpaksa dikenakan PKPD disebabkan jumlah jangkitan yang tinggi di kawasan tersebut.

Katanya, kebanyakan mereka yang tidak mempunyai MyKad atau Pasport tidak boleh mendaftar program pendaftaran vaksinasi di bawah kendalian Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin yang menggunakan aplikasi MySejahtera.

Manakala program trak bergerak vaksinasi anjuran Menteri Wilayah, Annuar Musa pula hanya untuk warganegara Malaysia sahaja, kata Yeoh.

"Semua ini telah menunjukkan dengan jelas mengapa lebih banyak kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di Kuala Lumpur terpaksa dilaksanakan PKPD," katanya.

Penduduk Pangsapuri Mentari Court, Sunway Mentari, kumpulan pertama pelaksanaan vaksin dalam kawasan PKPD, Selangor.

Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar, berkata penduduk di pangsapuri terbabit akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula Ahad ini.

Kerajaan semalam memutuskan untuk melaksanakan PKPD di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.

Pelaksanaan SOP di kawasan yang dikenakan PKPD berbeza di setiap daerah dan harus dilihat bagaimana ketatnya penguatkuasaan.