Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 4 lelaki, rampas 60 mesin Bitcoin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan empat lelaki dan merampas 60 unit mesin dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong mata wang digital Bitcoin dalam satu serbuan di Taman Flora, dekat Alor Setar, malam tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan itu dilakukan selepas menerima maklumat orang awam mengenai kejadian bekalan elektrik terputus di taman itu berikutan penggunaan elektrik secara berlebihan disyaki berpunca dari satu daripada rumah di situ.

"Sebelum polis menerima aduan berkenaan, penduduk di taman itu terlebih dahulu telah menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan berlaku kebakaran kecil di rumah berkenaan. Penduduk juga cuba memadamkan kebakaran tetapi rumah itu berada dalam keadaan terkunci.

"Selepas menerima aduan, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah pergi ke lokasi pada 11 malam. Pihak TNB memaklumkan mereka telah mematikan bekalan elektrik kerana bimbang akan berlaku kebakaran yang lebih besar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata polis yang masuk ke kawasan rumah berkenaan mendapati semua tingkap dan pintu berada dalam keadaan terkunci selain terdapat kesan letupan serta percikan api pada wayar elektrik di bahagian luar rumah itu.

"Polis telah memecah masuk ke dalam rumah dan membuat pemeriksaan sebelum menjumpai empat lelaki berumur 16 hingga 41 tahun sedang bersembunyi di tingkat atas rumah.

"Pemeriksaan lanjut telah menemukan pemasangan mesin bitcoin yang dipasang secara haram di ruang bilik tingkat bawah rumah itu. Polis turut merampas satu set komputer, satu unit network hub dan 60 mesin Bitcoin," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

- Bernama