Skip to main
Logo Malaysiakini

'Penduduk Jinjang turunkan bendera putih lepas insiden di Kuantan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bimbang menjadi sasaran polis, penduduk di Jinjang, Kepong menurunkan bendera putih yang dikibarkan di rumah mereka walaupun masih memerlukan bantuan.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, yang berkata dia mendapat maklumat ada sebuah rumah di situ yang mengibarkan bendera putih semalam.

Ketika berkunjung ke sana untuk menghantar makanan hari ini, Lim berkata dia mendapati bendera telah diturunkan.

Dia berkata, keluarga tersebut berbuat demikian kerana takut dikenakan kompaun oleh polis.

"Ada orang beritahu mereka yang polis akan keluarkan kompaun, jadi mereka turunkannya awal pagi ini.

"Semalam, dilaporkan ada penduduk di Kuantan yang diminta turunkan bendera dan berita itu tersebar dengan cepat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, ada tiga orang yang tinggal di rumah itu yang memohon bantuan.

Seorang lelaki pertengahan umur yang menjaga dua wanita yang lebih tua, telah hilang kerja akibat wabak Covid-19. Justeru, mereka mengibarkan bendera putih semalam (1 Julai).

Lim berpandangan tindakan itu bagi mendapatkan bantuan bukanlah satu kesalahan.

Dalam satu ciapan di Twitter kemudian, Lim berkata sekarang bukan masanya untuk "menjaga air muka kerajaan" di saat ada yang bergelut untuk menyara kehidupan.

"Kalau saya terima maklumat tentang rumah ini lambat sikit, mungkin mereka tak akan dapat apa-apa bantuan.

Saya kasihan sebenarnya. Dalam situasi begini pun masih ada pihak yang tak mahu orang susah ditolong. Kalau kita tak dapat bantu, senyap saja. Atau hubungi saya, biar saya yang bantu mereka.

"Tolong jangan takutkan mereka yang sudah susah ini. Sekarang waktu untuk kita bantu sesama kita, bukannya jaga air muka kerajaan," kata ahli Parlimen DAP itu lagi.

Polis Pahang nafi buat ugutan

Semalam, Adun Teruntum daripada PKR, Sim Chon Siang berkata, ada penduduk di Pahang yang mengadu diarah pihak polis untuk menurunkan bendera putih yang dikibarkan jika tidak ingin dikenakan kompaun RM50,000.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf menafikan ada membuat ugutan. Dia berkata polis meminta mereka berbuat demikian kerana bendera berkenaan digantung di tiang elektrik.

Polis tiada halangan untuk bendera putih dikibarkan, kerana tidak ada dalam mana-mana peruntukan undang-undang atau SOP yang menyatakan perbuatan itu satu pelanggaran undang-undang setakat ini," katanya semalam.

Ketika dihubungi hari ini, Sim berkata penduduk memang mengatakan polis mengarahkan mereka menurunkan bendera, termasuk yang diletakkan di dalam kawasan rumah mereka.

"Ada lima hingga enam orang yang mendengar mereka (polis) berkata demikian," katanya.

Menurut Sim, penduduk akan membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kuantan agar aduan mereka dapat direkodkan.