Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis serbu pejabat FFN, rumah kartunis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sepasukan anggota polis dari Bukit Aman menyerbu pejabat Freedom Film Network (FFN) di Petaling Jaya dan rumah kartunis Amin Landak di Wangsa Maju hari ini, berhubung siasatan mengenai animasi yang didakwa memaparkan kekejaman polis.

Terdahulu, polis merakam kenyataan dari pengasas FFN, Anna Har dan Amin di Bukit Aman, selama kira-kira dua jam dari jam 2.30 petang ini.

FFN merupakan penganjur festival filem dokumentari hak asasi manusia tahunan, FreedomFilmFest yang telah mengadakan tayangan perdana animasi berjudul 'Chilli Powder & Thinner' pada 12 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan ringkas, FFN berkata kedua-dua mereka meninggalkan Bukit Aman sekitar jam 4.10 petang.

Difahamkan, Amin berada di rumah ketika beberapa pegawai polis tiba, manakala seorang kakitangan FFN berkata sepasukan polis menunggu di luar pejabat mereka ketika Har masih dalam perjalanan pulang dari Bukit Aman bersama peguam Rajsurian Pillai.

Polis sebelum itu merampas telefon bimbit milik Har dan Amin.

Har dan Amin disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 dan 505B Kanun Keseksaan.

Kumpulan hak asasi, Artikel19 berkata siasatan terhadap pembela hak asasi dan wartawan menimbulkan kebimbangan mengenai kekejaman polis dan menegaskan perlunya melindungi kebebasan bersuara serta memastikan kebertanggungjawaban atas dakwaan salah laku polis di Malaysia.

"Mendedahkan salah laku polis adalah khidmat awam dan perkhidmatan kepada pasukan polis itu sendiri.

"Media, pembuat filem, dan pemerhati bebas semuanya berperanan dalam mendedahkan dan menangani isu penyiksaan dan penderaan terhadap tahanan di Malaysia," kata Ketua Program Artikel 19 Asia, Matthew Bugher.

Animasi 'Chilli Powder and Thinner’ terbitan Suaram dikatakan digarap berdasarkan kisah benar seorang remaja berusia 16 tahun yang ditangkap dan dipukul oleh polis bersama dua individu lain.

Dalam animasi itu, mereka dipaparkan diikat dan dipukul dengan benda seperti cota kayu dan getah paip, sebelum badan mereka dilumurkan dengan serbuk cili dan cecair thinner.

Animasi itu juga dilancarkan susulan sekurang-kurangnya empat kes kematian yang dilaporkan secara meluas dalam tahanan polis dari pertengahan April hingga Jun tahun ini.

[Baca berita asal]