Skip to main
Logo Malaysiakini

Status Rizab Unesco Tasik Chini sedang dikaji semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Status Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dinilai secara berkala dan kerajaan ada masa lebih sedikit dari setahun supaya bertindak berdasarkan syor-syor untuk mengekalkan statusnya itu.

Unesco, melalui unit Khidmat Medianya, memberitahu Malaysiakini senarai cadangan awal telah dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan pada 18 Mei.

"Penilaian berkala dari Rizab Biosfera Tasik Chini memang sedang berlangsung. Sebuah laporan diperiksa oleh Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa untuk Rizab Biosfera, yang memberikan nasihat ilmiah dan teknikal untuk program ini.

"Syor-syor ini dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia pada 18 Mei 2021. Setelah diluluskan, pihak berkuasa yang menguruskan rizab biosfera mempunyai masa sehingga September 2022 untuk melaksanakan syor-syor Jawatankuasa Penasihat," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, laporan dan syor-syor itu akan diumumkan pada bulan September apabila draf akhir disetujui.

Tasik Chini di Pahang adalah tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia dan merupakan habitat kepelbagaian bio hutan hujan tropika yang subur.

Pada tahun 2009, Unesco mengisytiharkan kawasan itu, yang merupakan habitat buat ratusan spesies flora, hidupan bukan akuatik, dan ikan air tawar, sebagai salah satu rizab biosferanya. 

Bawah program ini, setiap rizab Unesco akan dikaji secara berkala setiap 10 tahun.

Pun begitu, sorotan baru-baru ini terhadap Tasik Chini mendapatinya berhadapan bermasalah kemusnahan alam sekitar, yang disebabkan oleh aktiviti penebangan hutan dan perlombongan yang terus terjadi walaupun kerajaan Pahang berjanji untuk memulihkan kawasan tersebut.

Ini termasuk projek perlombongan berkaitan kerabat yang baru diluluskan oleh pihak berkuasa.

Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek ini juga menunjukkan bahawa terdapat beberapa konsesi perlombongan lain yang sedang berlangsung di kawasan ini, yang kebanyakannya lebih dekat dengan Tasik Chini.

Malaysiakini juga melaporkan Tasik Chini masih belum diwartakan secara rasmi sebagai Hutan Simpan Kekal walaupun kerajaan negeri mengumumkan pewartaan itu pada 2019.

Gugur dari senarai rizab pilihan terakhir

Para pencinta alam sekitar baru-baru ini memberi amaran bahawa Tasik Chini mungkin kehilangan status Rizab Biosfera Unesco sekiranya pencemaran di kawasan itu berterusan.

Menurut kerangka kerja Program Manusia dan Biosfera, rizab biosfera Unesco boleh kehilangan statusnya jika tidak lagi memenuhi kriteria syarat-syarat yang melayakkannya.

Namun, Unesco dalam e-melnya kepada Malaysiakini menegaskan mengeluarkan Tasik Chini dari senarai rizab biosfera dunia itu hanya dianggap sebagai jalan terakhir, selepas semua usaha menemui jalan buntu.

Merujuk Fasal 9 kerangka kerja program itu, Unesco berkata Majlis Penyelaras Antara Kerajaan (ICC) mengenai rizab biosfera akan memberikan cadangan kepada negara yang berkenaan supaya mengambil langkah-langkah untuk memastikan rizab biosfera mereka mematuhi peruntukan syarat-syarat kriterianya.

Jawatankuasa itu juga akan menunjukkan kepada sekretariat program itu apa tindakan yang harus diambil untuk membantu negara berkenaan.

"Sekiranya ICC mendapati rizab biosfera yang berkenaan masih tidak memenuhi kriteria terkandung dalam Fasal 4, dalam jangka waktu yang wajar, wilayah tersebut tidak lagi disebut sebagai rizab biosfera yang merupakan sebahagian dari suatu Jaringan," menurut aturan berkanun badan itu.

[Baca laporan asal]