Skip to main
Logo Malaysiakini

Kempen bendera putih: Mufti P Pinang mohon maaf atas kekeliruan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor tampil memohon maaf serta dan memberi penjelasan berhubung kenyataannya mengenai kempen mengibarkan bendera putih.

Wan Salim berkata dia tidak berniat untuk menghalang mana-mana pihak daripada berbuat demikian bagi memohon bantuan ketika dalam kesempitan.

Sebaliknya, katanya, padangannya yang tidak setuju dengan pendekatan itu hanya kerana bimbang ia boleh menggugat akidah seseorang Muslim, jika bersikap putus asa dan tidak bersabar terhadap ujian daripada Tuhan.

“Tidak terlintas sama sekali di hati saya niat untuk menghalang tindakan tersebut jika ia difikirkan boleh dijadikan satu cara berkesan untuk menyedarkan pihak berkuasa dan masyarakat awam serta memudahkan semua pihak menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Selain daripada itu kenyataan saya sebelum ini juga bertujuan untuk memperbetulkan persepsi salah sebahagian rakyat terutama mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bahawa pihak-pihak berkenaan mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka.

“Sebaliknya, nasib mereka sentiasa mendapat perhatian dan sedia dibantu dan dibela oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, di samping agensi dan institusi tertentu termasuk pusat pengurusan zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, semalam

Dua hari lalu, Wan Salim menyuarakan tidak bersetuju dengan kempen mengibarkan bendera putih di rumah.

Memahami kesusahan hidup yang dihadapi rakyat pada masa ini, dia bagaimanapun berkata tindakan itu tidak wajar kerana ia mencerminkan sikap berputus asa terhadap apa yang dihadapi.

Katanya lagi, banyak cara lain yang untuk mendapatkan bantuan bagi mengatasi masalah yang dihadapi akibat pendapatan yang terjejas dalam tempoh PKP pada masa ini.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata dia ingin memperbetul persepsi masyarakat, bukannya menghalang mereka yang dalam kesulitan mengibarkan bendera putih.

“Saya ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan daripada semua pihak di atas kekeliruan yang timbul daripada kenyataan saya mengenai isu ini,” katanya lagi.

Dia juga berkata, kenyataannya tempoh hari turut menggesa pihak berkuasa dan agensi-agensi kerajaan supaya bertindak lebih intensif dan agresif dalam usaha membantu golongan yang terjejas.