Skip to main
Logo Malaysiakini

Zuraida sambut baik polis S'gor nak bantu golongan memerlukan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini mengucapkan terima kasih atas komitmen polis Selangor untuk membantu golongan yang memerlukan.

Zuraida berkata pusat khidmat ahli parlimen Ampang akan menyelaraskan dengan balai polis tempatan untuk mencapai tujuan tersebut.

"Saya menyambut baik kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang komited mengenal pasti penduduk mengalami kekurangan makanan atau menghadapi masalah lain akibat pandemik Covid-19 semalam.

"Laporan tersebut juga menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan anggotanya untuk mengenal pasti penduduk yang terjejas, malah usaha sedemikian akan dipertingkatkan," kata Zuraida pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Arjunadi berkata pihaknya akan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan akibat tekanan kewangan berikutan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa daerah di negeri itu.

Katanya, polis Selangor telah mengarahkan ketua-ketua balai untuk mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan, kemurungan atau masalah lain.

"Daripada sini selepas kita kenal pasti, kita akan facilitate mereka ni untuk bantu menghubungkan mereka dengan jabatan-jabatan kebajikan masyakat, pusat zakat dan sebagainya," katanya.

Kenyataan Arjunaidi itu selepas dia ditanya bagaimana bantuan boleh disalurkan kepada individu yang mengibarkan bendera putih di hadapan rumah mereka, berikutan PKPD yang bermula hari ini.

Bermula akhir bulan lalu, kempen bendera putih semakin mendapat perhatian dengan ramai yang dilaporkan melakukannya dan menerima bantuan kemudiannya.

Menerusi kempen itu, pihak yang berdepan kesusahan terutama ketiadaan bekalan makanan disarankan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.