Skip to main
Logo Malaysiakini

Garis panduan bagi individu lengkap terima 2 dos vaksin diumum Ogos ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan bagi kalangan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy yang memantau program vaksinasi kebangsaan sebelum ini berkata kerajaan sedang menimbang untuk melonggarkan sekatan terhadap mereka yang sudah mendapat dua dos vaksin.

"Bagaimanapun, dengan penularan varian Delta, kita mengambil langkah berjaga-jaga," katanya ketika sidang media di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Selangor, hari ini.

Varian Delta virus Covid-19 boleh menular dengan lebih mudah. Bilangan kes yang dikesan berkaitan dengan varian tersebut hampir meningkat dua kali ganda dalam tempoh seminggu.

Varian tersebut dikaitkan dengan penularan di India, United Kingdom dan Australia.

Dengan dua dos vaksin, perlindungan daripada jangkitan varian ini yang menunjukkan gejala adalah 88 peratus bagi Pfizer dan 60 peratus bagi AstraZeneca.

Sementara itu, seorang jurucakap Sinovac berkata vaksin keluarannya mempunyai "pengurangan tiga lapis" dalam menghilangkan kesan bahaya daripada varian Delta.

Dalam pada itu, Khairy berkata dia juga akan berbincang dengan Kesatuan Eropah (EU) berhubung sekatan terhadap mereka yang menerima vaksin AstraZeneca yang dibuat di sejumlah negara tertentu.

Laman kesihatan CodeBlue sebelum ini melaporkan, sijil digital Covid-19 EU yang baru dikuatkuasakan hanya mengiktiraf vaksin yang diluluskan kesatuan itu bagi perjalanan bebas di negara-negaranya.

Ia tidak merangkumi vaksin AstraZeneca yang diperbuat di Korea Selatan, Jepun dan Thailand - yang digunakan di Malaysia.

Khairy berkata vaksin yang digunakan itu sama secara keseluruhannya dengan yang dikeluarkan di EU.

"Kita harap tiada sebarang diskriminasi terhadap kilang mana yang keluarkan vaksin," katanya lagi.

Katanya lagi, Malaysia juga sedang berbincang dengan Arab Saudi - yang pada masa ini tidak memperakui Sinovac - walaupun ia digunakan secara meluas di negara majoriti Muslim, termasuk Indonesia, Pakistan dan Turki.