Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kerana Covid-19 hidup pun bertukar derita

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua orang kini berdepan kekangan yang tidak pernah dialami sebelumnya. Ia adalah tempoh sukar yang baru dan memerlukan cara yang baru juga untuk menguruskannya.

Pun begitu tidak semua orang mampu. Kadang-kadang kerana kekangan yang kebetulan ada, atau disebabkan takdir tersendiri. Misalnya si suami sebagai tunjang keluarga yang meringkuk dalam penjara kerana masalah dadah.

Maka tinggalkan si isteri dan anak-anak meneruskan kehidupan sendiri.

Itu situas yang dihadapi Ziela (bukan nama sebenar) yang berdepan kesukaran hidup dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini apabila terpaksa membesarkan anak tanpa suami.

Ibu berusa 35 tahun itu terpaksa membesarkan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun sendirian. Dalam keadaan terdesak, dia terpaksa mengalah dan meminta bantuan.

Bukan Wati tidak mahu berusaha sendiri. Malangnya dia tidak mampu membanting tulang kerana menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani hemodialisis tiga kali seminggu.

Wati dan anaknya memang ada menerima bantuan daripada agensi kerajaan tetapi ia tidak cukup menampung semua keperluan, justeru dia tetap perlu mencari pendapatan lain.

Kerana banyak sektor ekonomi yang ditutup kerana PKP, Wati tidak mampu membuat kuih seperti biasa untuk dihantar ke kafe di Hospital Temerloh.

Pendapatan terjejas teruk

Menambah dugaan baru-baru ini dia didapati positif Covid-19 dan terpaksa dikuarantin di Kuantan.

Anak lelaki tunggalnya kini terpaksa tinggal bersama keluarga yang juga dalam keadaan kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Ibu mana yang tidak sedih mengenang nasib anaknya yang terpaksa membesar tanpa dia di sisi. Namun dia mengakui perlu kuat menempuh dugaan yang ada.

Kata Wati, dia memang keberatan untuk menghubungi aktivis Laskar Temerloh, namun dalam keadaan sekarang itu sahaja yang termampu dilakukannya untuk mendapat bantuan makanan.

Selepas butiran mengenainya diambil NGO Laskar Temerloh bergegas menyampaikan bantuan dan ia diterima dengan perasaan sebak oleh Wati.

Kesempitan hidup turut dialami ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Zura, 30, di Taman Temerloh Jaya. Dia turut menjadi mangsa keadaan apabila bekas suaminya terperangkap dalam penagihan dadah.

Selepas bebas daripada tahanan Zura menyangka suaminya sudah insaf. Namun tanggapannya meleset. Si suami kembali menagih dan kemelut yang berlaku di antara mereka akhirnya membawa kepada perceraian.

Dia kini berniaga kedai makanan untuk mencari rezeki bagi meneruskan hidup dan membesarkan seorang anak perempuan yang berusia lima tahun.

PKP menyebabkan pendapatannya terjejas teruk. Disebabkan perniagaan kedai makan itulah satu-satunya punca pendapatan Zura, kini dia berdepan keperitan untuk mencari rezeki dan pada masa sama membesarkan anaknya.

Perniagaannya sebelum ini dibuka dari petang hingga malam dan pendapatan dari situ agak baik. Namun disebabkan tempoh perniagaan yang perlu tutup awal kerana PKP, Zura terpaksa menukar waktu perniagaan.

Di samping menguruskan kedai, dia juga perlu berada di sisi anaknya.

Walaupun tidak meminta bantuan namun Laksar Temerloh melihat Zura adalah layak dibantu. Melalui maklumat penduduk setempat, Laskar Temerloh memberinya bantuan pek makanan agar dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung.


Muhayudin Salleh ialah aktivis NGO dikenali sebagai Laskar Temerloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.