Skip to main
Logo Malaysiakini

Jais benar majlis akad nikah sepanjang PKPD, dengan pematuhan SOP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kebanyakan kawasan negeri itu yang berkuat kuasa sejak semalam.

Bagaimanapun laman Facebook Jais memaklumkan bahawa majlis akad nikah tersebut hanya boleh diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ketetapan Jais terdahulu bertarikh 24 Jun.

Tambahnya, maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui panggilan telefon 03-55143400/ 03-55143600 atau emel kepada [email protected].

Menurut SOP yang dikeluarkan pada 24 Jun, Jais menetapkan supaya majlis akad nikah secara bersemuka hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dari Isnin hingga Ahad, dengan kehadiran terhad iaitu pengantin lelaki, perempuan serta wali.

Selain itu, pasangan pengantin dan wali juga wajib menjalani ujian saringan Covid-19 (RT-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian tersebut kepada pendaftar sebelum majlis.

Pada 1 Julai, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan PKPD di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.

Ia berikutan kes jangkitan Covid-19 yang tidak menunjukkan penurunan di kawasan-kawasan tersebut.