Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar: Tangani kelemahan untuk atasi kesan jangka panjang Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pembaharuan berterusan terhadap sistem kesihatan Malaysia diharapkan dapat mengatasi kelemahan yang dikenal pasti dalam menangani pandemik Covid-19 dan mengkaji kemungkinan kesan jangka panjangnya, menurut pakar.

Penasihat khas perdana menteri berhubung kesihatan awam, Dr Jemilah Mahmood (gambar, judul) berkata pandemik Covid-19 telah mendedahkan kelemahan dalam sistem dan memberi peluang untuk penambahbaikan yang diperlukan.

"Saya sangat beruntung kerana dapat bekerjasama dengan Dr Adeeba bekerjasama dalam transformasi sistem penjagaan kesihatan.

"Kami baru sahaja menyelesaikan Fasa Satu. Pemeriksaan sistem kesihatan kita yang benar-benar jujur, apa yang perlu diubah," kata Jemilah merujuk kepada ketua pasukan petugas Covid-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Dr Adeeba Kamarulzaman (gambar, bawah) yang juga ahli Majlis Sains WHO.

Jemilah, Adeeba dan pakar penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Yasmin Mohamed Gani, yang mengetuai pasukan barisan hadapan di hospital utama Covid-19 Malaysia, menjadi panelis perbincangan dalam talian mengenai 'Covid berpanjangan' merujuk pelbagai gejala Covid-19 yang berlanjutan selepas pesakit pulih.

Antara lain, Jemilah berkata sistem kesihatan yang berubah akan melihat terdapat lebih banyak integrasi antara kemudahan kesihatan awam dan swasta, terutama dalam pengurusan data pesakit.

"Sekiranya anda pergi kepada doktor am (GP), yang merupakan penyedia perkhidmatan utama kesihatan bagi banyak orang di Malaysia, terdapat keterputusan hubungan yang besar.

"Kadang-kadang anda dimasukkan ke hospital dan doktor am anda tidak tahu apa yang berlaku kepada anda dan sebaliknya," katanya.

Para panelis mengenal pasti Covid berpanjangan sebagai pelbagai gejala yang memerlukan perhatian daripada beberapa pakar dan Jemilah berkata terdapat kekurangan pakar dalam bidang tertentu.

Pakar penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Yasmin Mohamed Gani.

"Seperti yang dikatakan oleh Dr Yasmin, kami memerlukan doktor pemulihan. Kami tidak mempunyai banyak doktor pemulihan dan ini adalah kelemahan yang nyata.

"Orang menjadi pakar bedah dan lain-lain tetapi sangat sedikit yang menjadi pakar kesihatan pekerjaan, pakar pemulihan, pakar geriatrik (perawatan penyakit serta penjagaan kesihatan warga emas)," kata Jemilah, sambil menambah pelaburan mesti dilakukan untuk melatih pakar yang diperlukan.

Kedua-dua Yasmin dan Adeeba menekankan lebih banyak kajian tempatan diperlukan untuk lebih memahami kesan jangka panjang Covid-19 kepada pesakit yang pulih.

Ini dilakukan melalui kerja pasukan masing-masing di Hospital Sungai Buloh dan UMMC untuk memantau pesakit Covid-19 yang pulih.

Walaupun, pada mulanya difikirkan bahawa hanya pesakit yang pulih daripada jangkitan Covid-19 yang teruk sahaja akan mengalami gejala yang berlarutan, namun Yasmin berkata sehingga 70 peratus daripada 2,000 pesakit yang pulih melaporkan tanda-tanda keletihan.

Dalam pada itu, dia berkata bahawa rawatan lanjut dengan 740 pesakit yang pulih mendapati 1.4 peratus pesakit melaporkan kehilangan bau dan rasa yang berterusan.

"Ini jarang berlaku (simptom berterusan) tetapi pasti ada," katanya.

Gejala berpanjangan lain yang dilaporkan termasuk sesak nafas dan batuk berterusan yang berkaitan dengan kesan virus pada sistem pernafasan pesakit.

'Kesan terhadap kesihatan mental'

Sementara itu, Jemilah juga menekankan kemungkinan kesan jangka panjang penyakit seperti Covid-19 dan HIV pada kesihatan mental seseorang, sebahagiannya disebabkan oleh stigma masyarakat terhadap jangkitan.

"Ada tahap stigmatisasi dan juga rasa bersalah jika ditularkan ke populasi yang rentan.

"Orang harus sedar bahawa mereka memerlukan sokongan jangka panjang," katanya.

Yasmin berkata keyakinan sistem penjagaan kesihatan bersepadu negara akan dapat menyerap kesan tambahan akibat gejala Covid berpanjangan itu.

Pada masa yang sama, dia berkata langkah-langkah mesti diambil untuk menghilangkan tekanan akibat kes-kes Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini berkata kapasiti katil hospital sekarang, termasuk katil yang diperbaiki di hospital Lembah Klang, telah mencapai 85 peratus.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.