Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita kecewa dikelirukan MySejahtera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang wanita keliru dan kecewa apabila mendapati namanya tidak berada dalam senarai penerima suntikan dos pertama vaksin walaupun sehari sebelum itu dia diminta hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Wanita berusia 58 tahun itu berkata hal berkenaan diketahui semasa dia teruja dan bersiap-siap untuk ke lokasi PPV yang ditetapkan pada 2 Julai lalu.

“Pada 2 Julai itu saya dah gembira dan bersiap untuk ke sana apabila tiba-tiba anak saudara saya bertanya, mengapa saya menerima alamat berlainan (untuk fasiliti kesihatan dan lokasi vaksinasi),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Menurut butiran janji temu MySejahtera wanita terbabit, lokasi kemudahan kesihatan yang dipaparkan Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Lumut Kiri, Manjung di Perak.

Bagaimanapun lokasi vaksinasi pula dinyatakan sebagai Dewan Besar Adtec (Pusat Latihan Teknologi Tinggi) Kamunting di Taiping.

Untuk rekod, kedua-dua lokasi itu dipisahkan jarak kira-kira 83km dan mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit untuk sampai dari satu tempat ke tempat kedua.

Menurut wanita terbabit, lokasi PPV yang dipaparkan memang terletak berdekatan dengan rumahnya justeru ia bukan masalah namun lokasi kemudahan kesihatan itu pula berada jauh dari situ.

Justeru penjawat awam yang enggan mendedahkan identitinya kerana bimbang berdepan dengan masalah berkata, anak saudaranya itu kemudian memberikan nombor telefon untuk dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Semak status setiap hari

Katanya, apabila talian tersebut dihubungi seorang wanita memberitahu berlaku kesilapan dan diminta tidak berkunjung ke lokasi yang dinyatakan itu.

"Dia juga memberitahu mereka akan mengemas kini maklumat dalam aplikasi MySejahtera," katanya.

Seorang lagi anak saudara perempuan itu bagaimanapun mencadangkan agar dia pergi juga ke PPV yang dinyatakan.

“Saya ke sana dan tunjukkan (janji temu) MySejahtera saya.

"Apabila jururawat mendapatkan kad pengenalan saya, dia mendapati nama saya tiada (dalam sistem). Kemudian saya tunjukkan telefon saya.

“Lepas tu dia kata: ni silap... ralat ni,” katanya.

Dia juga mendakwa jururawat terbabit memberitahunya ada ramai individu lain yang sama profesion dengannya menghadapi masalah berkenaan pada hari tersebut.

“Selepas saya pulang dan semak semua MySejahtera, tertera maklumat mengatakan saya ‘tidak dapat hadir disebabkan lokasi’. Ia bukan salah saya,” katanya yang keliru dengan sistem tersebut.

Setelah mendapati namanya tiada dalam sistem, dia bertanya di kaunter bila dia akan menerima janji temu yang baru. Namun katanya dia hanya diberitahu MySejahtera akan mengemas kini maklumat tersebut.

“Tapi awal pagi ini (semalam), tiada lagi (tertera status terdahulu di MySejahtera). Ia sama seperti pada awal dulu,” katanya yang setiap hari menyemak status janji temu vaksinasinya.