Skip to main
Logo Malaysiakini

Setiausaha politik Ismail Sabri adukan Lokman ke polis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu laporan polis dibuat ke atas bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, selepas dia didakwa memfitnah menteri kanan merangkap Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha politik menteri terbabit, Syed Mohd Fadzmi Syed Mohammad, berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Katanya dalam satu siaran secara langsung di Facebook, Lokman mengeluarkan kenyataan memfitnah yang boleh menjelaskan imej serta reputasi Ismail Sabri.

"Telah kami amati dan teliti, mendapati ia kenyataan fitnah yang boleh menjelaskan kredibiliti dan nama baik Datuk Seri Ismail Sabri selaku Naib Presiden Umno dan menteri kanan.

"Pemilik akaun Facebook iaitu Lokman Adam juga turut membuat tuduhan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuba menyakinkan ahli-ahli parlimen Umno untuk menjadi calon parti Pribumi (Bersatu) jika tidak dapat jadi calon Umno," katanya kepada media selepas selesai membuat laporan polis berkenaan di tengah Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Syed Mohd Fadzmi, dakwaan dibuat Lokman itu tidak pernah dibuat oleh Ismail Sabri sebelum ini.

Semalam, melalui sesi secara langsung di Facebooknya, Lokman mendakwa Ismail Sabri mengkhinati perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020 dengan memujuk 28 ahli parlimen mereka yang tidak bersetuju meninggalkan kerajaan untuk keluar parti.

Lokman mendakwa pertemuan tersebut berlangsung di sebuah kediaman milik Kementeri Pertahanan di ibu negara dengan dihadiri 28 ahli parlimen.

Katanya, Ismail Sabri sebagai pemimpin paling kanan Umno yang berada dalam kerajaan hari ini sudah memindahkan kesetiaannya kepada Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu.

Bagaimanapun Lokman dalam rakaman itu mengakui bahawa apa yang diperkatakannya itu sekadar khabar angin dan terpulang untuk sesiapa mempercayainya atau tidak.

Syed Mohd Fadzmi berkata dia menggesa polis menyiasat Lokman mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Antiberita Tidak Benar dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1988.

Katanya, kenyataan Lokman jelas berupa fitnah yang bertujuan memburukkan imej Ismail Sabri.