Moratorium: Sehingga kini belum ada kenyataan dari Bank Negara, dakwa Sim
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempersoalkan Bank Negara yang belum membuat sebarang kenyataan berhubung moratorium pinjaman kali ini, selepas diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seminggu lalu.
"Adakah ini bermakna, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bank untuk menentukan cara pelaksanaan?
"Adakah setiap bank bebas menetapkan syarat permohonan, pengiraan faedah, tempoh bayaran balik dan sebagainya?" soalnya dalam kenyataan.
Ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun lalu, Muhyiddin berkata moratorium tanpa syarat akan diberikan selama enam bulan kepada semua peminjam individu dan usahawan mikro.
Sesiapa yang ingin memohon perlu menghubungi pihak bank bermula 7 Julai ini.
Dua hari lalu, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Bhd (MTEM), Ahmad Yazid Othman dilaporkan berkata, masih banyak persoalan berhubung perkara itu, antaranya mengapa bank masih mengenakan kadar faedah dan jika syarat lanjutan tempoh pinjaman atau perjanjian pinjaman baru akan diwajibkan.
Bank Negara juga perlu memastikan bank hanya mengenakan kos yang minimum, katanya lagi seperti dipetik Berita Harian.
Dalam pada itu, Sim mengingatkan bahawa peminjam masih tertakluk kepada faedah sepanjang tempoh moratorium, dengan kadarnya bergantung kepada bank.
Justeru, katanya lagi, peminjam mungkin perlu membuat bayaran bulanan lebih tinggi atau melanjutkan tempoh hutang, selepas tamat moratorium.
Dia juga mengkritik syarat moratorium iaitu tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan dibuat.
"Apabila moratorium akhirnya diumumkan, golongan yang paling tidak mampu membayar pinjaman berbulan-bulan ini mendapati bahawa mereka tidak layak untuk moratorium. Jadi apakah fungsi moratorium terbaru ini?" soalnya.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pula menjelaskan semalam bahawa moratorium pinjaman bank selama enam bulan yang diumumkan di bawah pakej bantuan kewangan Pemulih bukan tanpa faedah.
Namun, dia berkata telah meminta bank untuk mengetepikan faedah terkompaun (compounded interest) dan denda lewat bayar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai