Skip to main
Logo Malaysiakini

'PPV baru, tingkat kapasiti PPV mega untuk capai 130,000 dos sehari di Selangor'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin memberi jaminan Selangor akan dapat mencapai sasaran menyuntik 130,000 dos vaksin Covid-19 sehari pada bulan ini.

"Kita sedang buka tujuh pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan mula beroperasi hari ini selain meningkatkan kapasiti PPV mega kepada hampir dua kali ganda," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Putrajaya hari ini.

Khairy berkata tujuh PPV baru itu dapat memberi lebih 20,000 dos vaksin sehari.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tentang usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 130,000 dos sehari di Selangor untuk bulan ini.

Isu vaksinasi di Selangor menjadi perhatian mutakhir ini setelah negeri itu terus mencatatkan jumlah kes baru dan kematian akibat Covid-19 yang tertinggi di Malaysia.

Setakat 3 Julai lalu, hanya 5.2 peratus penduduk Selangor telah lengkap menerima dua dos vaksin, menjadikannya sebagai negeri dengan kadar vaksinasi paling rendah.

Menurut data daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), kadar purata pemberian vaksin di Selangor adalah 46,467 dos sehari untuk 14 hari terakhir.

Kerajaan Selangor juga telah mengumumkan program vaksinasinya sendiri iaitu Vaksin Selangor (Selvax) dengan sasaran 80 peratus penduduk divaksin menjelang Oktober tahun ini.

Menurut Khairy, CITF dan pejabat Menteri Besar Selangor pada masa ini sedang berbincang mengenai pelaksanaan Selvax memandangkan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah memutuskan hanya satu sijil digital vaksin yang akan dikeluarkan.

"Keputusan JKJAV adalah hanya satu saja sijil digital patut dikeluarkan iaitu daripada Kementerian Kesihatan (menerusi aplikasi MySejahtera).

"Oleh sebab itu, (Selvax) perlu konsisten dengan apa yang digunakan Kementerian Kesihatan digunakan...Tidak boleh ada sijil digital lain daripada yang dikeluarkan dalam aplikasi MySejahtera.

"Ini penting kerana kita perlu menjamin integriti vaksin. Walaupun jika mereka beli daripada pembekal swasta, kita perlu pastikan rangkaian sejuk daripada (pengeluar) sehingga ke PPV dan kepada penerima adalah selamat," katanya lagi.

[Baca berita asal]