Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: 8,000 penduduk Menteri Court di PJ divaksin minggu ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Selangor menyasarkan kira-kira 8,000 penduduk di Mentari Court di Petaling Jaya, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), akan menerima suntikan vaksin dalam minggu ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata proses pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan berkenaan telah bermula hari ini dan dijangka selesai menjelang Jumaat.

Katanya kira-kira 9,000 penduduk mendiami kawasan penempatan itu, dengan pecahan 7,200 orang warganegara dan 1,750 warga asing berbanding anggaran awal kira-kira 17,000 orang sebelum ini.

“Lebih 5,000 daripada mereka sudah menjalani saringan Covid-19 (ujian calitan) dan kita perlu menyaring 1,500 orang sahaja lagi kerana setakat ini, kadar positif Covid-19 di sini adalah lebih tujuh peratus.

“Kalau kadar itu bertambah dan berpanjangan, kemungkinan kita akan lihat kira-kira 400 hingga 500 kes positif yang ada sini. Setakat ini 120 orang sudah disahkan positif dan kita masih menunggu keputusan-keputusan yang lain,” katanya selepas meninjau situasi PKPD di kawasan penempatan itu hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata PKPD di kawasan berkenaan sedikit berbeza kerana tidak menumpukan kepada aktiviti saringan dan kawalan Covid-19 semata-mata, tetapi turut meliputi penambahan elemen lain iaitu pemberian vaksin kepada penduduk, penyediaan pusat penilaian Covid-19 dan pusat kuarantin dan rawatan sementara Covid-19.

“Kami rasa modul ini (penambahan elemen lain) agak mampan untuk kita buat di kawasan PKPD yang lebih besar. Oleh itu, kita akan mengaplikasikannya juga di beberapa lokaliti yang telah ditetapkan termasuk di Taman Murni, Sepang.

“Ini kerana tumpuan kita sekarang adalah kawasan perumahan penduduk yang ada bercampur dengan pekerja sama ada warga asing dan tempatan atau sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri telah meningkatkan jumlah pemberian vaksinasi kepada rakyatnya agar mencapai sasaran sebanyak 135,000 dos suntikan sehari seperti yang ditetapkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

“Sehingga minggu lepas, kami telah meningkatkan jumlah vaksinasi hingga 53,000 suntikan sehari dan dengan adanya Program Vaksin Selangor (Selvax) dan sebagainya, saya percaya kami boleh tingkatkan sampai 135,000 sehari pada bulan ini,” katanya.

-Bernama