Skip to main
Logo Malaysiakini

3 bengkel kereta, sebuah rumah musnah dalam kebakaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiga buah bengkel kereta dan sebuah rumah yang terletak di hadapan Balai Polis Pekan Laloh, Kuala Krai, Kelantan, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6 petang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 6.35 petang sejurus menerima panggilan.

Ekoran itu, 10 anggota bomba Balai Kuala Krai, tujuh anggota bomba Balai Sungai Durian dan tiga anggota bomba Balai Tanah Merah dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman kebakaran melibatkan empat lot bangunan iaitu tiga buah lot kedai dan satu buah rumah anggaran keluasan 60x50 kaki persegi jenis separuh kekal.

“Pemadaman mengambil masa dua jam sehingga api berjaya dikawal dan hampir tiga jam bagi pemadaman sepenuhnya,”katanya dalam kenyataan media, semalam.

Rizwan berkata, kemusnahan melibatkan hampir 60 hingga 70 peratus bangunan, manakala dua buah motosikal dan peralatan di dalam kedai juga hangus terbakar.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 10.25 malam dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan,”katanya.