Skip to main
Logo Malaysiakini

Pihak terlibat dalam kes saman bekas AG pertimbang mediasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan ditamatkan perkhidmatan sebagai peguam negara secara salah sedang mempertimbangkan untuk menyelesaikan kes itu secara mediasi, kata peguamnya hari ini.

Peguam Apandi, Baljit Singh Sidhu berkata, ini berikutan pengurusan kes sebelum ini berhubung saman yang dikemukakan Apandi terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan.

"Mediasi dijadualkan ditetapkan kemudian," katanya.

Dia bercakap demikian selepas pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun ketika dihubungi hari ini, peguam kanan persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan, yang mewakili kedua-dua defendan, menjelaskan bahawa hanya pihak Apandi bersetuju dengan mediasi berkenaan, manakala mereka tidak bersetuju dengan cadangan itu.

"(Mahkamah) Mungkin mencadangkan mediasi dan palintif (Apandi) setuju untuk mediasi, tetapi kami tidak setuju," kata SFC dari Jabatan Peguam Negara.

Menurut surat bertarikh 10 Mei, mahkamah menggalakkan pihak-pihak berkenaan merujuk perkara itu ke Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Apandi memfailkan saman terhadap Mahathir dan kerajaan atas dakwaan penamatannya sebagai AG dibuat secara tidak sah semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018.

Menurut salinan writ saman berkenaan, Apandi meminta pengisytiharan bahawa Mahathir selaku defendan pertama telah melakukan kesalahan atau salah laku di pejabat awam.

Apandi juga meminta pengisytiharan bahawa defendan pertama telah menyebabkan dan / atau menyebabkan pelanggaran kontrak antara paintif dan defendan kedua, iaitu kerajaan.

Namun, melalui Pernyataan Pembelaan yang dikemukakan pada November tahun lalu, Mahathir dan kerajaan menegaskan bahawa penamatan kontrak Apandi sebagai AG adalah sah dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Baljit berkata, anak guamnya telah diberikan dokumen yang berkaitan dengan penamatannya sebagai peguam negara.

Sebelum ini pada 25 Mei, pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Latifah Mohd Tahar membenarkan permohonan penzahiran oleh Apandi untuk mendapatkan surat-menyurat yang berkaitan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong bagi penamatannya.

Di bawah sistem raja berperlembagaan di Malaysia, Agong bertindak mengikut nasihat perdana menteri, termasuk dalam isu pelantikan peguam negara.