Skip to main
Logo Malaysiakini

Nelayan asing ditahan menangguk gamat di perairan Kelantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lima nelayan luar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan selepas mereka disyaki mencerboboh perairan negara dan menangguk gamat pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapt (M) Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata tangkapan tersebut dibuat dalam Op Naga Barat dan Op Damai.

Katanya semasa operasi dijalankan bot peronda Maritim Malaysia Kelantan mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5.55 petang.

“Menyedari dirapati pasukan Maritim Malaysia, bot tersebut melarikan diri dengan melepaskan tali tangguk mereka ke air.

“Bot Maritim Malaysia kemudian mengejar dan berjaya memintas mereka sebelum membuat tangkapan kira-kira jam 6.10 petang," katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Tok Bali, Bachok hari ini.

Menurut Muhd Nur Syam bot dan nelayan Vietnam itu ditahan kira-kira 42.7 batu nautika dari muara Tok Bali.

Katanya pelbagai barangan dirampas termasuk bot, gamat seberat kira-kira 200kg dan diesel kira-kira 2,000 liter.

Dianggarkan nilai keseluruhan rampasan ialah sebanyak RM300,000.

Muhd Nur Syam berkata, pemeriksaan mendapati warga Vietnam terbabit berumur antara 25 hingga 38 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot dan kesemua mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut atau cuba menangkap hasil laut tanpa kebenaran," katanya.

Jika disabitkan kesalahan mereka katanya tekong bot boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala awak-awak berdepan denda RM600,000 setiap seorang.