Talian penting untuk warga uzur, OKU 'tertinggal' program vaksin
Kerajaan akan menyediakan talian penting (hotline) untuk membantu memudahkan individu terlantar atau bermasalah untuk keluar rumah mendapat suntikan vaksin segera.
Selain itu alamat e-mel yang khusus juga akan disediakan bagi membolehkan warga emas serta orang kelainan upaya yang belum mendapat vaksin Covid-19 disuntik.
Anggota Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Dr Jemilah Mahmood berkata melalui kemudahan itu butiran individu yang terlatar boleh disalurkan kepada pusat kesihatan berhampiran oleh pihak yang berkenaan.
"Kerajaan juga ingin menubuhkan e-mel penting (hotline e-mail) supaya orang ramai boleh menghantar butiran individu terbabit supaya kami boleh ke rumah (untuk memberikan suntikan vaksin)," katanya kepada media hari ini.
Terdahulu Jemilah yang juga penasihat khas Perdana Menteri melancarkan program perintis suntikan vaksin ke atas orang kurang upaya dan terlantar, di Lembah Jaya, Ampang.
Jemilah juga secara peribadi memberikan suntukan vaksin Pfizer-BioNTech untuk Yah Kawi, 94, yang uzur dan terlantar sejak setahun lalu. Dia kini dijaga cucunya, Noriaini Mohd Ramli.
Menurut Jemilah klinik kesihatan sudah mengumpulkan senarai orang terlantar dan perlu disuntik vaksin berdasarkan maklumat yang ada dala pangkalan data kerajaan.
Katanya perkhidmatan suntikan vaksin dari rumah ke rumah itu serta senarai orang yang berhalangan tersebut akan memudahkan program vaksinasi digerakkan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (syarikat di bawah KKM) dan Malaysian Humanitarian Coordination and Action Hub (Match) yang dikendalikan Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional.
Turut terlibat ialah Pertubuhan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Tak perlu tunggu lama
Program perintis itu akan menyaksikan mereka bekerjasam dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta NGO menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin ke rumah-rumah yang dikenal pasti.
Perkhidmatan itu akan memberikan suntikan vaksin kepada individu terlantar serta anggota keluarga yang tinggal serumah jika mereka belum menerima dos masing-masing.
Menurut Jemilah kerajaan juga akan menyediakan saluran khas untuk golongan yang 'tertinggal' daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya semalam dia mengadakan pertemuan dengan menteri penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, mengenai rungutan orang ramai di di media sosial apabila ibu bapa mereka belum menerima vaksin.
Menurutnya keadaan itu membimbangkan kerana berdasarkan maklumat pada pangkalan data yang ada sebahagian besar daripada golongan terbabit sudah menerima suntikan masing-masing, kecuali beberapa kes terpencil.
"Mungkin akan ada satu talian atau e-mel khusus untuk (dihubungi) orang yang tertinggal supaya mereka boleh berhubung dan kerajaan dapatkan imunisasi untuk mereka," katanya.
Dia juga mengakui kerajaan menyedari ada kebimbangan orang ramai yang belum menerima suntikan dan kerajaan akan berusaha secepat mungkin menyediakan kemudahan khusus tersebut.
Sementara itu menceritakan pengalamannya mendapatkan suntikan untuk Yah, Noriaini berkata tiga hari lalu dia dihubungi kakitangan JKM untuk temu janji vaksin.
"Mereka datang dengan cepat dan kami tak perlu tunggu lama.
"Nenek saya (Yah) dah tua sangat dan saya dah tak tau macam mana nak atasi masalah (memberikan dia vaksin)," katanya.
Untuk rekod semalam Khairy menyatakan seramai 604,152 orang - atau 21 peratus - daripada warga emas yang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin belum menerima dos masing-masing.
Ia bermakna janji menteri sains, teknologi dan inovasi itu pada 20 Jun lalu untuk memberikan suntikan vaksin kepada warga emas dalam tempoh dua minggu tidak tercapai.
Turut tertinggal daripada sasaran ialah golongan OKU apabila hanya 127,775 orang - atau 39 peratus - yang sudah mendapat suntikan setakat semalam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai