Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lelaki ditahan seludup 7.2 tan ayam sejuk beku

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan dua orang lelaki menyeludup 7.2 tan ayam sejuk beku membawa padah apabila dirampas oleh Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7) yang sedang melakukan rondaan di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu kira-kira jam 2.30 pagi, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, tangkapan itu dilakukan semasa membuat rondaan berkereta di jalan Kota Bharu - Pengkalan Kubor dan mengesan lori berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori tersebut, pihak kami telah menjumpai 7,200 kg ayam beku dianggarkan bernilai RM72,000 dipercayai diseludup masuk daripada Thailand.

“Lalu, pihak polis menahan dua orang lelaki berumur 30 dan 24 tahun serta merampas kesemua barang rampasan,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Azhari, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Melalui tangkapan terbabit, pihak polis turut merampas sebuah lori jenis Isuzu bernilai RM120,000 dan jumlah rampasan termasuk lori, adalah sebanyak RM 192,000.

“Tahanan dan kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu, Kelantan untuk tujuan laporan dan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.