Empat beranak berpelukan saat ribut membadai rumah
Empat beranak berdepan detik cemas apabila bumbung rumah yang mereka diami tercabut dalam kejadian ribut yang turut memusnahkan 81 rumah di Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang, di Hulu Terengganu petang semalam.
Suri rumah Nurliza Abu Bakar, 40, berkata ketika kejadian pada pukul 6 petang itu beliau bersama suami Noorzihan Yahya,44, dan dua anak mereka Mohd Akmal Fariduddin,11, dan Nur Aleesya Elvina,6, sedang menonton televisyen.
“Kejadian berlaku sekelip mata. Mulanya kami terdengar bunyi yang sangat kuat di bahagian atas rumah sebelum melihat bumbung bahagian hadapan rumah tercabut dan diterbangkan angin. Sebahagian bumbung tersebut terpelanting ke rumah jiran.
“Angin sangat kuat sehingga tingkap rumah pun pecah. Detik cemas itu berlaku tidak sampai lima minit pun tetapi cukup menakutkan dan kami hanya mampu berpelukan sesama sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Hulu Terengganu hari ini.
Beliau langsung tidak menduga berlaku ribut memandangkan pada ketika itu hujan tidak berapa lebat.
Sementara itu suri rumah Nadiah Mohd, 42, berkata ketika ribut melanda beliau berada di luar rumah dan melihat sendiri di depan mata bumbung beberapa buah rumah berterbangan manakala beberapa pokok tumbang.
Katanya ribut kuat tersebut merupakan kejadian kedua berlaku selepas bencana yang sama pada 2010.
“Berbanding semalam, kejadian ribut pada 2010 tidak begitu teruk hanya dua atau tiga rumah sahaja terjejas. Semalam, saya berada di luar rumah dan nampak bumbung rumah jiran terhempas ke rumah saya, nasib baik tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya menzahirkan rasa syukur.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata ekoran bencana itu, seramai 268 penduduk terjejas dengan kebanyakan rumah mereka mengalami pelbagai kerosakan.
“Bencana itu turut mengakibatkan beberapa batang pokok tumbang sehingga menghalang laluan utama di kawasan perumahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, kejadian ribut itu turut merosakkan 157 rumah di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan 59 rumah di Marang.
Tinjauan Bernama di Perumahan Padang Setengge pagi tadi mendapati kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan pokok tumbang sedang giat dijalankan oleh beberapa agensi termasuk Majlis Daerah Hulu Terengganu dan pihak bomba serta penduduk yang terjejas yang sibuk membersihkan rumah masing-masing.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai