Aktivis haiwan heret Majlis Daerah Cameron Highlands ke mahkamah
Seorang aktivis haiwan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang menawarkan RM40 kepada orang ramai bagi setiap anjing liar yang ditangkap dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan itu.
Pengasas Malaysia Independent Animal Rescue (MIAR), T Puspa Rani mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh di Pahang pada 25 April lalu.
Dia memfailkan tindakan undang-undang itu melalui Tetuan Raj & Sach dan menamakan MDCH sebagai responden.
Menurut kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, Puspa merujuk keputusan responden bertarikh 27 Januari bagi melancarkan projek bertajuk “Program Penjana Pendapatan semasa PKP; Iklan Bagi Penangkapan Anjing Liar di Kawasan Pentadbiran MDCH”.
Puspa, 45, berpendapat perkara itu adalah bertentangan dengan undang-undang dan dibuat dengan niat jahat dan penyalahgunaan kuasa berkanun oleh responden.
Dia memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan dengan serta-merta keputusan itu dan memohon semakan kehakiman melalui satu perintah larangan untuk melarang responden dariapda membuat sebarang pelancaran projek yang mengabaikan hak asasi haiwan dan menyebabkan bahaya terhadap keselamatan haiwan.
Puspa juga memohon perintah mandamus bagi responden untuk melepaskan haiwan-haiwan berkenaan kepada persatuan perlindungan haiwan tanpa sebarang kecederaan.
Selain itu, dia juga menuntut responden membayar ganti rugi untuk sebarang kecederaan yang dialami haiwan-haiwan yang telah ditangkap dan disimpan kepada persatuan perlindungan haiwan untuk tujuan pemulihan dan perubatan.
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Puspa mengesahkan telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman melalui firma guaman berkenaan.
Peguamnya Rajesh Nagarajan yang mengesahkan perkara itu berkata, anjing peliharaan juga mungkin akan dirampasl bagi mendapatkan RM40 yang ditawarkan.
"Tidak dapat dinafikan bahawa anjing yang ditangkap oleh orang ramai pasti akan dianiaya yang bercanggah dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.
"Dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak wang, boleh dijangkakan bahawa bahkan anjing peliharaan akan dirampas untuk mendapatkan RM40," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai