Skip to main
Logo Malaysiakini

Bila PAS nak buka DUN Kelantan, tanya Amanah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amanah Kelantan mendesak kerajaan negeri diterajui PAS mengotakan janjinya bagi mengeluarkan Notis Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini diberitahu akan dibuat selepas tarikh persidangan parlimen ditentukan.

Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Hussin, berkata notis persidangan DUN itu harus dinyatakan dengan segera oleh kerajaan negeri bagi membincangkan permasalahan rakyat yang menuntut penyelesaian segera.

Katanya Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub sebelum ini dilaporkan media memberi janji untuk mengeluarkan notis tersebut sebaik sahaja Putrajaya menetapkan tarikh parlimen bersidang.

“Dua hari telah berlalu selepas sidangan parlimen diumumkan tetapi kerajaan PAS Kelantan masih membisu mengenai persidangan DUN. Entah ada akan bersidang atau tidak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 20 Jun lalu media melaporkan Abdullah berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Ahmad Yakob dan mereka bersetuju untuk menetapkan tarikh DUN Kelantan bersidang selepas kedudukan parlimen ditentukan.

Untuk rekod, kali terakhir DUN Kelantan bersidang ialah pada 14 April 2020 dan berlangsung hanya selama 45 minit ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Muhammad berkata, sidang itu penting diadakan agar isu rakyat seperti pengagihan vaksin, pendidikan dan seumpamanya dapat dibahaskan.

“Isu yang harus dibincangkan antaranya ialah pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) sementara kerana program yang dijalankan di Kelantan sebahagiannya dikawal parti politik dan berlaku diskriminasi," katanya.

Turut penting dibahaskan, kata Muhammad, ialah masalah bantuan kepada rakyat yang gagal diagih ke sasaran menyebabkan masih ramai yang kesempitan.

Seterusnya, kata bekas ahli parlimen Pasir Puteh itu, isu pendidikan dalam kalangan pelajar yang tercicir.

"Sehingga kini hampir tiada sebarang inisiatif daripada pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.