Lantikan TPM: 'Tahniah Ismail, Hisham'
- Dikemas kini dengan perkembangan terbaru - Najib padam ayat berkaitan mesyuarat malam ini.
Bekas perdana menteri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein atas pelantikan mereka sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan.
Bagaimanapun, kata anggota parlimen Pekan, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno juga akan membuat keputusan malam ini.
“Ingat ada pengumuman baik untuk keadaan Covid, moratorium yang lebih membebankan peminjam atau penambahan i-Citra tapi dapat pengumuman TPM dan menteri kanan baru pula.
“Seperti bagi menteri-menteri, pelantikan baharu ini bawah bidang kuasa khusus PM8.
"Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Apa pun, kita tunggu dan lihat apa keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini,” katanya.
Najib bagaimanapun kemudiannya membuat kemas kini dengan membuang ayat berkaitan mesyuarat malam ini.
Setakat ini belum jelas sama ada Umno akan membenarkan dua pemimpinnya menerima lantikan itu.
Ketua pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki pagi tadi meminta orang ramai tidak percaya pada dakwaan Umno melobi jawatan timbalan perdana menteri.
“Majlis Kerja Tertinggi Umno telah putuskan untuk tidak terima jawatan TPM jauh sekali untuk melobi,” katanya di Facebook.
Isham Jalil: Ketidakstabilan mungkin lebih teruk
Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata ketidakstabilan politik tidak akan banyak berubah atau lebih teruk jika Umno menerima lantikan sebagai TPM.
“Umno akan masih perlu tunduk kepada Bersatu yang gagal mentadbir negara, malah akan timbul masalah dalaman dalam Umno yang akan menyebabkan perpecahan,” katanya.
“Dan dasar-dasar kerajaan PN yang gagal akan berterusan, dan rakyat yang akan terus menanggung sengsara ke atas kegagalan dasar-dasar ini.”
Kami yakin - MCA
Bagaimanapun, MCA sebagai rakan komponen BN, hari ini berkata mereka yakin dengan kepimpinan Ismail dan Hishammuddin.
Dalam kenyataannya petang ini, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata mereka yakin kedua-dua pemimpin Umno itu akan menyumbang dan memberi manfaat kepada rakyat.
“MCA akan terus bekerjasama dengan Ismail dan Hishammuddin supaya anggota kabinet boleh menumpukan sepenuhnya kepada usaha melawat pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan membantu rakyat menghadapi kesukaran,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai