Skip to main
Logo Malaysiakini

'Apa pun jawatan, saya hanya mahu bekerja demi rakyat'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein menyatakan rasa syukur atas pelantikannya sebagai menteri kanan yang baru.

Hishammuddin dalam kenyataan berkata dia akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Terima kasih YAB Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri. Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu YAB perdana menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya.

“Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya petang ini.

Hishamuddin berkata demikian mengulas pelantikannya sebagai menteri kanan yang baru bagi mengambil alih tugas kluster keselamatan yang dikendalikan oleh Ismail Sabri Yaakob.

Ini selepas Ismail Sabri dilantik sebagai timbalan perdana menteri oleh Muhyiddin. Bagaimanapun Ismail Sabri akan tetap memegang portfolio sebagai menteri pertahanan.

Anggap disambut baik

Perdana menteri juga bersetuju supaya Hishammuddin membantunya dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata apa juga jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendiriannya tetap sama iaitu mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama - hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

"Saya berdoa, semoga Allah SWT meredai ketentuan ini,” katanya.

Sementara itu Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan Hishammuiddin dan menganggapnya sebagai pengiktirafan PN kepada Umno.

"Pelantikan mereka juga membuka pintu kepada peranan Umno yang lebih besar dalam kerajaan PN (apabila) kedua-dua mereka berupaya menggerakkan seluruh kekuatan parti untuk terus berjuang membela rakyat serta menjayakan proses pemulihan negara," katanya di media sosial.

Annuar yang jelas tidak sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menambah dia yakin pelantikan tersebut "disambut baik semua lapisan masyarakat".

"Inilah peluang terbaik untuk Umno terus berbakti kepada rakyat serta merapatkan saf di belakang kedua-dua mereka bagi menyatupadukan ahli, orang Melayu, bumiputera serta rakyat Malaysia seluruhannya," kata Annuar.