Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS, GPS sokong Muhyiddin sebagai PM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang kini menerima asakan daripada Umno agar meletakkan jawatan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, seramai 18 ahli parlimen daripada parti itu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri, sambil membidas sebarang usaha untuk mewujudkan ketidakstabilan politik. 

"PAS turut melahirkan kekesalan terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara, khususnya dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara," katanya dalam kenyataan.

Malam tadi, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, dengan mendesak perdana menteri itu mengundurkan diri serta merta.

Namun difahamkan ahli-ahli Parlimen Umno telah diberi kebebasan untuk membuat keputusan sama ada akan menyokong perdana menteri di parlimen atau sebaliknya.

PAS sebelum ini merupakan sekutu kepada Umno, tetapi kemudian dilihat berpihak kepada Bersatu yang dipimpin Muhyiddin.

Pada April lalu, Hadi dan pemimpin PAS yang lain menyerang Umno dengan mengatakan mereka menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional (MN) yang asal, di tengah-tengah serangan terhadap perdana menteri.

Sementara itu, Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata sekarang bukan masanya untuk politik bergolak.

“Tiba masanya untuk kerajaan yang stabil, menumpukan perhatian pada hal-hal penting, iaitu memerangi pandemik Covid-19,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.

Katanya, pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri, dan ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan, seharusnya dilihat sebagai langkah meningkatkan kestabilan kerajaan.

"Bagaimanapun, ini telah menimbulkan pergolakan dalam Umno," katanya.

Parti-parti dalam GPS sebelum pilihan raya umum pada 2018 merupakan komponen dalam BN.

Namun, parti-parti dari Sarawak itu keluar BN selepas gabungan itu tewas pada PRU berkenaan dan membentuk gabungan mereka sendiri.

Selain PAS dan GPS, rakan Umno dalam BN iaitu MIC dan MCA juga telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.