Skip to main
Logo Malaysiakini

PH gesa KPT turunkan yuran pelajar universiti di saat wabak melanda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH menuntut supaya Kementerian Pengajian Tinggi menurunkan yuran pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di saat wabak Covid-19 sedang melanda negara.

Menurut kenyataan bersama Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH), yuran di IPTA perlu diturunkan secara terus selaras dengan tuntutan pelajar, selain dan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan melalui geran khas.

"(Geran tersebut) untuk pembangunan infrastruktur dan infostruktur digital di kesemua 20 universiti awam bagi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital dapat dijalankan demi keselesaan dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran siswa dan pensyarah,” menurut JKPPH dalam kenyataan hari ini.

Bagi IPTS pula, JKPPH menggesa supaya kerajaan mengimbangkan antara kelangsungan pengurusan pihak institusi swasta yang terbabit, serta kemaslahatan para pelajar.

"Maka dicadangkan agar kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada para pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang belajar di IPTS yang memungkinkan pihak IPTS

membuat penurunan yuran yang dikenakan ke atas mereka," katanya.

Pada masa sama, jawatankuasa itu juga mencadangkan agar pengecualian cukai diberikan kepada IPTS berdasarkan jumlah biasiswa yang diberikan kepada pelajar yang memerlukan, serta berdasarkan penurunan yuran yang diberikan kepada pelajar tempatan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi JKPPH Maszlee Malik, ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Teo Nie Ching (Kulai), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Jawatankuasa itu berkata ketika wabak sedang melanda, kerajaan perlu mengadakan pendekatan yang tidak konvensional dalam memastikan proses pendidikan tidak terganggu dan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti di pengajian tinggi diteruskan.