Wabak memburuk: Najib pertahan 3 menteri Umno
- Dikemas kini dengan kenyataan Najib kepada Malaysiakini.
Bekas perdana menteri Najib Razak mempertahankan tiga menteri Umno daripada kritikan di kala situasi wabak Covid-19 di negara ini semakin memburuk.
Menurutnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang harus mengambil kebertanggungjawaban atas situasi yang berlaku.
“Pada akhirnya, pengerusi MKN-lah yang membuat keputusan dan sepatutnya memiliki tanggungjawab mutlak.
“The buck stops there (Dia bertanggungjawab),” katanya kepada Malaysiakini.
Bagi menerangkan maksudnya, Najib mengimbau banjir besar di Kelantan pada 2014 ketika dia menjadi perdana menteri, yang memaksanya menyingkatkan percutiannya.
“Sebelum itu, saya pergi sesi pertemuan dan bermain golf yang telah dirancang lama dengan (bekas) presiden (AS, Barrack) Obama, timbalan saya (Muhyiddin) dijadikan pemangku pengerusi MKN untuk memantau bantuan banjir selepas saya membuat beberapa persiapan.
“Apabila saya lihat usaha bantuan banjir tak mencapai jangkaan, saya singkatkan percutian dan mengambil dua penerbangan komersial yang memakan masa lebih 30 jam, terus ke Kelantan untuk menggalas semula tanggungjawab.
“Bagi saya, itulah mengambil kebertanggungjawaban peribadi.
“Ini situasi sama dengan usaha wabak Covid-19 oleh kerajaan. Kebertanggungjawaban tergalas pada bahu pengerusi” katanya lagi.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggesa agar Muhyiddin meletak jawatan, antara lain, kerana kegagalan menangani wabak Covid-19, menyalahgunakan darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi, gagal menguruskan bantuan kepada rakyat, serta memperkotak-katikkan titah Agong.
Susulan itu, ada pihak, termasuk daripada parti itu sendiri dan PAS, yang membangkitkan terdapat tiga orang menteri Umno yang bertanggungjawab dalam urusan menangani penularan wabak Covid-19.
PAS tuding jari pada Ismail, Adham, KJ
Antaranya, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang menempelak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menggariskan kegagalan PN dalam menangani Covid-19.
Razman memetik nama Menteri Pertahanan merangkap Menteri Kanan Kluster Keselamatan, sebelum terbaru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan Dr Adham Baba; dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).
“Ketiga-tiganya daripada Umno yang mana dia sendiri merupakan presiden. Sebab tu Pak Teh pernah kata, ini bukan masa nak tunjuk siapa gagal siapa berjaya. Ini krisis! Sama-sama kita fokus kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN)?
“Sebelum hujung tahun ini dengan izin Allah rakyat Malaysia akan capai imuniti kelompok. Tak lama dah. Tahun depan insya-Allah boleh balik raya. Sabar dulu, jangan tunjuk sangat desperate tu,” katanya di Facebook semalam.
Bagaimanapun, Najib berkata, ketiga-tiga menteri itu memegang portfolio berkenaan sebagai jurucakap kepada MKN, urusan kesihatan dan urusan vaksin.
“Adakah kamu tengok nama-nama mereka dalam keputusan untuk membenarkan kilang bukan essential (penting) dibuka semula pada hari PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) keempat?
“Mengikut portfolio dan tanggungjawab mereka masing-masing, yang jaga SOP, kesihatan dan vaksin tiada kepentingan untuk cadang pembukaan semula kilang dalam PKPD atau dasar-dasar lain seperti kurangkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing yang banyak jahanamkan negara serta usaha melawan Covid-19.
“Buat apa mereka mahu menyusahkan tugas-tugas sendiri?” soal Najib.
Menurut Najib, dasar yang gagal termasuklah memansuhkan kuarantin mandatori di pusat pemantauan kerajaan buat pengembara asing dan membenarkan kuarantin di rumah ketika Jun 2020, demi menjimatkan kos.
Dakwanya, inilah yang membawa kepada menularnya gelombang varian mudah berjangkit di Malaysia utara pada Julai tahun lalu, bukannya pilihan raya negeri Sabah tiga bulan kemudian.
Dasar gagal yang kedua, katanya, adalah membenarkan rentas negeri pada awal Disember apabila kes baru pada angka 1,600 kes berbanding 511 sebulan sebelumnya, pada hari sama Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan kerajaan agar darurat diisytiharkan.
“Mengikut jangkaan, kes baru pun meningkat dan kerajaan memohon dan akhirnya mendapat perkenan darurat sebulan kemudian,” katanya.
Kegagalan ketiga, ialah membuka semula sekolah apabila kes baru mencatat angka lebih tinggi berbanding ketika kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.
“Ini menyebabkan Covid-19 merebak jauh ke dalam masyarakat di semua peringkat,” tambahnya.
Kegagalan keempat, tambahnya, ialah dasar membenarkan kilang terus beropersai semasa PKP 2.0, PKP 3.0, sekatan pergerakan penuh dan sekarang sudah hampir seminggu pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Malah, kalau kamu baca kenyataan Miti dua hari lepas, mereka berkata secara khusus bahawa keputusan itu dibuat oleh perdana menteri, Miti, kementerian kewangan dan kementerian ekonomi - seorang pun bukan orang Umno.
“Memandangkan portfolio mereka masing-masing, menteri-menteri Umno itu tidak mempunyai kepentingan pun untuk mencadangkan dasar-dasar di atas.
“Itulah sebabnya kenapa Ismail Sabri pernah mengeluarkan kenyataan terkenal, bahawa dia dah tutup pintu depan, tapi ada orang buka pintu belakang,” tambahnya lagi.
Selain itu, Najib berkata Umno dan PAS tidak mempunyai ahli dalam Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) atau memegang portfolio yang berkaitan kewangan dan ekonomi.
Berdasarkan perkara itu, kata Najib, keputusan untuk membantu rakyat mendepani kesan Covid-19 yang melumpuhkan ke atas ekonomi, datang daripada parti pemerintah Bersatu dan bukannya Umno.
Oleh itu, katanya, merupakan sesuatu yang “tidak wajar dan tidak bertanggungjawab” untuk meletakkan kesalahan di bahu Umno untuk kesilapan yang membawa kepada situasi sekarang ini, tanpa pengerusi MKN sendiri mengambil sebarang kebertanggungjawaban.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai