Skip to main
Logo Malaysiakini

TPM akan pastikan tiada lagi pintu belakang dibuka - Pemuda Umno

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengutamakan tuntutan rakyat termasuk memastikan tindakan tegas diambil kepada kilang-kilang yang menyumbang sebilangan besar terhadap jangkitan Covid-19 di negara ini.

Asyraf berkata ia merupakan salah satu daripada 10 tuntutan yang disampaikan kepada Ismail tengah hari tadi untuk menambah baik bantuan rakyat yang dirumuskan oleh pihaknya.

“Datuk Seri (Ismail) amat komited dan bersetuju untuk jadikan semua #TuntutanRakyat ini sebagai keutamaan beliau setelah dilantik sebagai TPM (timbalan perdana menteri).

“Bukan itu sahaja, Insya-Allah, dalam isu PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan) ‘total lockdown’, beliau juga akan pastikan tindakan tegas diambil untuk tiada lagi kompromi untuk membolehkan kilang-kilang penyumbang infeksi virus dibuka sewenangnya.

“Tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, sebelum ini, dilaporkan bahawa kluster tempat kerja merangkumi 16 peratus daripada semua kes Covid-19 di Malaysia dari 1 Jun hingga 1 Julai, sementara kluster yang berkaitan dengan sektor pembuatan menyumbang 10 peratus daripada semua kes.

Terdapat 227 kluster sektor pembuatan yang dikenal pasti dalam tempoh ini, 85 daripadanya dikesan di Selangor.

Kilang telah dikaitkan dengan penularan dalam jumlah yang tinggi sebelum ini, termasuk kluster Teratai yang merupakan kluster terbesar yang diketahui hingga 29 Mei ketika Kementerian Kesihatan berhenti memberikan kemas kini berkala mengenai kluster Covid-19.

Sementara itu, antara 10 cadangan yang dikemukakan Pemuda Umno adalah menyegerakan Bantuan Khas Covid (BKC) tanpa menunggu bulan Ogos, memandangkan rakyat kian terdesak.

Selain itu, mereka juga menuntut agar kerajaan mempermudahkan proses rayuan tanpa perlu menyediakan pelbagai dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.

“Karenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250 (takut-takut kos nak merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya sekalipun sudah tidak berbaloi).

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini, memandangkan ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0,” katanya.

Selain itu Asyraf, i-Citra wajar ditambah baik dengan membenarkan pengeluaran secara sekaligus berbanding berkala setiap bulan, dan kadar yang lebih tinggi mengikut simpanan pencarum.

Malah, dia turut meminta supaya akses pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipermudahkan pengeluaran, serta memberikan akses pengeluaran yang lebih tinggi kepada golongan T20 dan M40.

“Selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat memilih moratorium.

“Perluaskan juga moratorium kepada agensi kerajaan termasuk LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam),” katanya.