Skip to main
Logo Malaysiakini

Ujian besar-besaran di kawasan PKPD punca kes harian meningkat mendadak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menjangkakan kes positif Covid-19 akan meningkat dalam tempoh dua minggu ini di Lembah Klang ekoran ujian saringan besar-besaran di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ujian saringan secara besar-besar itu turut membabitkan tapak pembinaan mengakibatkan peningkatan mendadak jangkitan harian Covid-19.

"Di Selangor dan Wilayah Persekutuan kita memilih untuk (kuat kuasakan) PKPD kawasan yang luas dan lokaliti yang banyak.

"Apabila sesuatu kawasan diletakkan bawah PKPD, 'mass PCR testing' akan dibuat. Ini bermakna puluhan ribu diwajibkan buat ujian saringan dua kali. Bacaan positif direkod dan diisytihar tiap hari.

"Justeru dalam dua minggu ini, jumlah kes positif akan naik tinggi. Lebih-lebih lagi di Wilayah Persekutuan kita memutuskan untuk menggempur tapak bina dan (rumah) kongsi," katanya dalam satu hantaran di Faceboonya, hari ini.

Malaysia hari ini mencatat rekod kes harian Covid-19 paling tinggi sepanjang negara dilanda pandemik ini.

Selangor mencatat 4,400 kes positif Covid-19, manakala Kuala Lumpur merekodkan 1,271 kes positif.

Dalam pada itu Annuar menjelaskan, Kuala Lumpur dijangka akan mencapai imuniti kelompok dalam bulan Ogos ini.

"Pada masa yang sama, kita perhebatkan suntikan vaksin. Dalam masa dua minggu kita dijangka berjaya melepasi minimum 50 peratus dua dos, pada ketika itu dijangka kes positif tahap 3, 4 berkurangan, manakala tahap 1 dan 2 tidak lagi merbahaya kepada mereka yang sudah ada imuniti.

"Kita yakin, bulan Ogos adalah detik kita mula meraih kemenangan apabila Kuala Lumpur menjadi antara kota metropolitan terawal mencapai imuniti kelompok 80 peratus telah divaksin," katanya.