Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat Top Glove, larang pekerja keluar dari lapan hotel

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat pengeluar sarung tangan getah Top Glove kerana didakwa memindahkan 1,606 pekerja dari asrama mereka ke lapan hotel sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) bersasar dikenakan di asrama pekerja itu di Petaling Jaya.

Pada sidang media hari ini, Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata polis sudah mengenal pasti lapan hotel itu, yang digunakan Top Glove sebagai transit untuk pekerja asing.

Dia berkata polis melarang pekerja keluar dari hotel-hotel ini.

"1,606 pekerjanya dibawa dari asrama di PJ Westlike dan itu sebelum PKP bersasar di apartmen yang berkenaan...

"Kita jalankan siasatan ke atas syarikat berkenaan, dan kita buka siasatan bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan, atas perlakuan mereka untuk bawa pekerja dari asrama asal ke lapan hotel yang kita kenal pasti dan kita telah tentukan mereka di lapan hotel itu tidak dapat dikeluarkan.

"Kita jalankan saringan semua 1,606 pekerja tersebut, cuma kita belum terima keputusan," katanya.

Peruntukan Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang disebut Arjunaidi merujuk "perbuatan jahat yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa" yang jika sabit kesalaham membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Sementara itu, Arjunaidi juga mengesahkan Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan telah mengarahkan Top Glove untuk menghentikan operasi serta-merta.

Sebelum ini, seorang wanita, melalui video tular Tik Tok, telah mendakwa peningkatan kes Covid-19 di Selangor disebabkan oleh sebuah kilang sarung tangan kerana memindahkan pekerja asing ke hotel di Klang dari asrama pekerja di Petaling Jaya.

Klang dan Petaling Jaya adalah antara daerah yang ditempatkan di bawah PKPD mulai 3 Julai.

Dalam perkembangan berkaitan, Top Glove pada maklum balas segera mengenai perkara ini berkata akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan terhadap syarikat itu.

"Top Glove menegaskan bahawa kami bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam hal ini.

"Top Glove meyakinkan pihak berkepentingan bahawa kami komited untuk memastikan keselamatan tenaga kerja dan komuniti tempat kami beroperasi," kata syarikat itu pada satu kenyataan hari ini.