Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pesakit Covid-19 tak perlu tunggu vaksinasi 3 bulan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas pesakit Covid-19 tidak lagi perlu menunggu selama tiga bulan sebelum layak mendapat vaksinasi.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengatakan keputusan itu dibuat berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan dalam mesyuarat semalam.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan di persidangan tersebut yang menyatakan walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi

virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan bagi pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.

"Sehubungan itu, bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan bebas daripada virus Covid-19 kini dibenarkan untuk divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menurut

janji temu yang telah diberikan," kata JKJAV dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi pesakit Covid yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 (anti-SARS-CoV-2 monoclonal antibodies) atau convalescent plasma sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19.

Mereka hanya dibenarkan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih dari jangkitan virus tersebut.

JKJAV mengatakan ini adalah langkah berjaga-jaga yang sedang diambil sementara data lebih lanjut tersedia.

Dikatakan ia untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.

JKJAV turut menggesa orang yang sedang menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak pergi ke PPV walaupun mereka mempunyai janji temu atau sepatutnya menemani seseorang untuk vaksinasi.

Ia memberi jaminan bahawa mereka yang harus membatalkan janji temu akan diberikan janji temu baru secara automatik.

Peringatan itu hadir selepas kejadian di PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) pada hari Rabu.

Menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada hari Rabu, seorang individu hadir janji temu di PPV MIECC pada hari itu ketika ujian Covid-19 masih belum dimaklumkan.

Setelah individu itu tiba, sebuah kemudahan kesihatan menghubunginya untuk memberitahu bahawa ujiannya positif, yang mendorong PPV untuk segera mengasingkan individu itu dan menutup kemudahan berkenaan untuk pembersihan.