Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kita ini seakan-akan menuju gagal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Sebelum perlawanan akhir Euro 2020 pada berlangsung pada Ahad ini, kita sudah cukup berasa cemburu melihat bagaimana penyokong bola sepak di Eropah bersorak menyokong pasukan masing-masing hampir seperti sebelum dunia dilanda Covid-19.

Di dalam stadium yang menjadi hos perlawanan itu di pelbagai negara penontonnya tidak lagi melakukan penjarakan fizikal seperti sebelum ini. Pelitup muka juga sudah menjadi sesuatu yang janggal.

Sementara itu di sini kita masih belum terlepas daripada 'sumpahan' kekangan dan kawalan pergerakan. Memanglah sekarang tidak ada lagi perintah kawalan pergerakan (PKP). Terima kasih kerajaan kerana menjenamakan semula PKP menjadi PPN (pelan pemulihan negara) dengan situasi semasa masih terus menakutkan semua orang.

Pada masa sama janji demi janji dan harapan demi harapan ditabur, namun sinar di penghujung terowong masih tidak kelihatan.

Belum pun reda isu sistem kesihatan, negara disambar petir sekali lagi. Negara berdentum dan bergegar dengan berita penarikan sokongan Umno kepada Muhyiddin Yassin.

Tidak dapat dipastikan sama ada petir itu ada menyebabkan sesiapa tercampak ke belakang.

Apa pula yang bakal berlaku selepas ini? Apakah kejutan demi kejutan ini akan berterus berlansung sehingga parlimen tamat bersidang nanti? Apa yang pasti, rakyat kini menanti dengan penuh debar - dan sabar yang semakin nipis - bilakah semua ini akan berakhir.

Kabel kuat

Melihat hantaran di media sosial, rata-rata sudah jelak dengan percaturan politik yang terus dimainkan muka-muka lama dalam kubang yang kian tercemar akibat serakah kuasa tidak berkesudahan.

Rakyat sudah patuh berkurung kerana dijanjikan graf jangkitan dapat dilandaikan. Apabila keadaan berlaku sebaliknya ada pihak yang meletakkan kesalahan kepada rakyat.

Penafian demi penafian dibuat bagi menutup kesalahan dan kegagalan. Orang ramai diberitahu angka baru harian yang besar itu datangnya dari tempat kerja dan kilang-kilang. Namun ada pihak berkuasa terus gigih mempertahankan tindakan mereka membenarkan kilang beroperasi.

Terlalu kuatkah 'kabel' tauke-tauke kilang sehingga membolehkan ia berlaku?

Atau adakah mereka begitu berjasa kepada negara untuk menyumbang semula kepada masyarakat dalam perang melawan wabak ini? Kalaulah ia boleh berlaku, barangkali kita tidak akan berdepan dengan isu kekurangan katil di hospital untuk pesakit Covid-19.

Mereka juga sepatutnya boleh menyumbang bantuan lain. Membekal tong-tong oksigen, misalnya.

Para pemain industri yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit itu sepatutnya boleh dikerah untuk memberi sumbangan dana bagi memastikan sistem kesihatan kita tidak berantakan.

Justeru tidak perlulah kerajaan mengeluarkan dana tambahan yang besar untuk sektor perubatan. Inilah masanya untuk syarikat korporat besar menyumbang kepada negara setelah mengaut banyak keuntungan di bumi Malaysia ini.

Tidak cukup dengan masalah itu, lagi juga masih melihat bagaimana pemberian vaksin yang sangat perlahan ketika peruntukan besar dikeluarkan.

Dana berpuluh-puluh juta untuk inisiatif itu - termasuk pembangunan laman web vaksin - juga seakan sia-sia apabila acap kali mengalami masalah ketika menerima jumlah kunjungan yang besar daripada rakyat yang mahu mendaftar. Masih ingat lagi tentang itu?

Belajar dari negara lain

Apa jadi dengan dana RM5 bilion yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang dikatakan untuk mempercepat proses vaksin tempoh hari? Ke mana perginya vaksin itu?

Apa pun, buat masa ini kita melihat hanya ada satu jalan untuk keluar dari kemelut pandemik yang mengurung rakyat ketika ini, iaitu pemberian vaksin dan imuniti kelompok harus dipercepatkan.

Namun dengan gaya pengurusan yang ada sekarang, ia nampak seakan-akan menuju kegagalan.

Kita patut belajar dari negara-negara lain yang berjaya mencapai imuniti kelompok dengan cepat. Tidak ada salahnya jika kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin seperti dilakukan di Russia.

Semua ini sebenarnya boleh dilakukan dengan pengurusan yang betul oleh pasukan yang betul. Cukup-cukuplah mengurung rakyat ketika hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

Rakyat rindukan suasana hidup normal seperti dulu. Memang betul wabak ini tak akan terhapus dengan cepat namun jangkitannya boleh dikawal dan norma hidup seperti kebiasaannya boleh dikembalikan.

Rakyat juga mahu kembali memenuhi stadium memberi sokongan kepada pasukan kegemaran mereka seperti yang dinikmati penyokong-penyokong di Eropah. Rakyat juga mahu kembali bersantai bercuti seperti dinikmati 63 negara lain.

Rakyat mahu hidup, bekerja dan beriadah seperti biasa. Seperti yang kita sama-sama nikmati sebelum ini.


HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah ketua Pemuda Amanah Kepong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.