Skip to main
Logo Malaysiakini

Tok Pa: Beri peluang kepada Ismail Sabri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed menyatakan keyakinan bahawa Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri baru akan dapat membantu Muhyiddin Yassin dalam mentadbir negara, di saat krisis yang ekonomi dan kesihatan pada masa ini.

Mustapa juga menyuarakan harapan agar semua pihak memberi peluang kepada Ismail untuk memikul tugas tersebut.

"Dengan kekuatan dan pengalaman yang ada pada timbalan perdana menteri baru, Ismail Sabri, saya cukup yakin dia bukan sahaja akan dapat membantu Perdana Menteri, tetapi membela kepentingan rakyat Malaysia tidak mengira dari negeri dan kaum mana.

“Berilah peluang kepada Ismail Sabri kerana pelantikan ini masih baru," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bakul makanan kepada penerima di sekitar Kampung Berdang, Jeli, Kelantan, hari ini.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata lagi, apa yang penting pada masa ini adalah untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara, serta menyelesaikan "cabaran-cabaran politik" yang ada.

Pada 7 Julai lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melantik Ismail Sabri ke jawatan itu. Sebelum ini jawatan itu dikosongkan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan digantikan dengan empat menteri kanan.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai menteri kanan dan mengambil alih tugas kluster keselamatan yang dikendalikan Ismail sebelum ini.

Dua pelantikan itu dibuat pada hari sama Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan mendesak dia berundur segera.

Dalam acara itu, Mustapa menyampaikan sebanyak 6,000 bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada penduduk sekitar. Turut hadir adalah Yang Dipertua DUN Kelantan, Abdullah Ya'kub.

Dalam perkembangan berlainan, Abdullah memaklumkan sidang DUN Kelantan dijangka diadakan semula pada Ogos ini.

Bagaimanapun, dia berkata tarikh sidang akan diumumkan nanti.

"Bagaimanapun, sidang DUN Kelantan jelas akan berlangsung pada Ogos ini," katanya lagi.

Untuk rekod, kali terakhir DUN Kelantan bersidang ialah pada 14 April 2020 dan berlangsung hanya selama 45 minit ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan sama, Abdullah berkata pihaknya telah mengedarkan surat kepada setiap Adun negeri itu untuk mengemukakan soalan bagi sesi soal jawab.

“Sekarang ini, kita masih dalam proses persediaan rang undang-undang (RUU) yang akan diangkat ke persidangan DUN Kelantan yang terdekat," katanya lagi.