Skip to main
Logo Malaysiakini

Rina dikecam ingkar SOP lepas suap burger ke mulut kanak-kanak OKU

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Rina Harun telah menyuapkan makanan kepada anak perempuan pemain drum Fendy Adlun dari kumpulan pemuzik tempatan Caliph Buskers.

Rina menyuapkan burger itu setelah diminta untuk berbuat demikian oleh kanak-kanak itu ketika lawatannya ke rumah Fendy awal hari ini.

Seorang pembantu Rina menjawab kritikan bahawa menteri itu telah mengabaikan protokol pencegahan Covid-19 ketika menyampaikan bantuan kepada keluarga Fendy di rumah mereka di Sentul pagi ini.

Ketika dihubungi, pegawai menteri itu berkongsi video berdurasi 15 saat yang menunjukkan Rina cuba menyerahkan burger kepada gadis itu, tetapi diberitahu oleh Fendy, seorang OKU penglihatan, bahawa anak perempuannya juga buta dan autistik, jadi dia tidak dapat makan sendiri.

Kanak-kanak tersebut yang duduk di sebelah bapanya juga terdengar memberitahu Rina, "nak aunty suap" dan ahli parlimen Titiwangsa itu terus menyuapkan burger itu.

Foto lawatan yang menunjukkan Rina menyuapkan makanan ke mulut kanak-kanak itu mendapat kritikan meluas, termasuk daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang memetik kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 melalui kontak rapat.

Sementara itu,pengguna lain di Twitter pula berkata sebarang bantuan dapat disalurkan tanpa perlu lawatan bersemuka dalam tempoh lama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan sebahagian besar mukim di Selangor.

Dalam perkembangan berasingan, dilaporkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal juga telah mengunjungi Fendi hari ini dan menyerahkan bantuan untuk penghibur tersebut.

Menurut Bernama, Rina berkata kementeriannya akan mengendalikan kelulusan permohonan Fendy untuk tinggal di flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, Wan Fayshal berjanji akan mengumpulkan dana buat Fendy untuk menggantikan set drumnya yang sebelum ini terpaksa dijual untuk menampung kehilangan punca pendapatan melalui persembahan sejak wabak menular.

Kunjungan mereka hari ini dilaporkan diatur setelah rayuan Fendy meminta bantuan kepada masyarakat menjadi tular di media sosial.