Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bukalah Pulau Perhentian untuk pelancong tempatan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Terengganu dan persekutuan diharap memberi pertimbangan sewajarnya bagi membolehkan industri pelancongan di Pulau Perhentian, Besut, dibuka semula dalam kadar segera.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, berkata pihaknya berharap pihak berkenaan memohon kelonggaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas Terengganu diletakkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Situasi Covid-19 di Terengganu semakin pulih dan berada dalam Fasa 2 PPN, keadaannya sama seperti tahun lepas apabila sektor pelancongan di Pulau Perhentian dibenarkan beroperasi apabila kes Covid-19 menurun.

"Kebenaran itu sekali gus membolehkan rakyat yang bergantung hidup sepenuhnya dalam sektor pelancongan di Pulau Perhentian kembali bernafas," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Tengku Zaihan, dalam keadaan sekarang mereka sudah 'lemas' dan keutamaan rakyat di situ ialah mendapatkan semula sumber kewangan, selain bantuan dalam berbentuk barangan keperluan harian.

"Bukan bermaksud mereka mahukan bantuan kewangan daripada kerajaan, tetapi dengan membenarkan mereka beroperasi segera sebelum tiba musim tengkujuh," katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan, kehidupan penduduk di pulau peranginan terkenal itu semakin terhimpit  susulan sektor pelancongan tidak dibenarkan beroperasi.

Lebih 2,000 penduduk yang hampir 100 peratus bergantung sumber pendapatan kepada industri pelancongan di situ diyakini tidak dapat bertahan lama sekiranya keadaan sekarang berterusan. 

Tengku Zaihan berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat membenarkan Pulau Perhentian beroperasi kerana ada cara dapat dilakukan bagi mengimbangi langkah mengawal penularan Covid-19.

Misalnya, kata Tengku Zaihan, mengehadkan kemasukan pelancong iaitu daripada kalangan orang tempatan sahaja.

Adun Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Atau pun, katanya, jika keadaan lebih mengizinkan kelonggaran turut diberi kepada penduduk Kelantan.

Katanya, kelonggaran seperti itu pun sudah memadai bagi membolehkan pekerja dalam industri itu meraih pendapatan dan tidak bergantung kepada bantuan awam.

"Namun perlulah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pemantauan ketat pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, langkah sedemikian antaranya sudah diambil kerajaan negeri Sabah.

"Saya berpendapat kerajaan perlu memikirkan situasi yang dihadapi pemain dalam industri ini yang terjejas teruk," jelas Tengku Zaihan.