Skip to main
Logo Malaysiakini

Makin ramai kes positif libatkan ibu mengandung di Hospital Sg Buloh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wabak Covid-19 telah meragut lima nyawa ibu mengandung yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh sejak Jun hingga awal bulan ini.

Menurut sumber dalam sistem kesihatan awam, mereka termasuk dalam kes wanita mengandung yang dijangkiti wabak tersebut, yang mencatatkan peningkatan sejak Mei lalu.

Tiga daripada mangsa meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan Covid-19 pada 8 Julai, manakala dua lagi meninggal dunia pada Jun. Mangsa termuda berusia 25 tahun.

Malaysiakini difahamkan yang anak kepada empat mangsa berjaya diselamatkan, walaupun hampir semua lahir secara pramatang menerusi pembedahan caesarean.

"Seorang bayi meninggal dunia tetapi itu kerana ibunya sudah dalam keadaan tidak sedar ketika dibawa ke hospital," kata seorang kakitangan kesihatan yang enggan namanya didedahkan, kepada Malaysiakini.

Beberapa sumber membayangkan yang mereka mula melihat peningkatan kes positif melibatkan ibu mengandung pada Mei lalu.

Pada Jun sahaja, hospital itu merawat sekurang-kurangnya 100 pesakit yang berbadan dua.

"Di tempat saya kerja, ada kira-kira 120 pesakit Covid-19 yang mengandung pada masa ini, dalam Kategori 1 hingga 5.

"Hampir 20 orang kini dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya ketika dihubungi awal minggu ini.

Pesakit Kategori 1 dan 2 adalah mereka yang tidak menunjukkan gejala atau memiliki gejala ringan, manakala pesakit Kategori 3 mengalami pneumonia tetapi masih boleh bernafas.

Pesakit Kategori 4 pula memerlukan bekalan oksigen manakala mereka dalam Kategori 5 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sesetengah pesakit Kategori 5 di ICU bergantung kepada alat high flow nasal cannula untuk bernasa, manakala yang lain memerlukan ventilator.

Dalam banyak kes, pemasangan alat bantuan pernafasan bermakna anak dalam kandungan perlu dikeluarkan menerusi pembedahan caesarean.

Setakat ini, punca peningkatan jumlah ibu mengandung yang positif belum diketahui secara umum.

Bagaimanapun, doktor mengesyaki mereka lazimnya dijangkiti oleh suami, ahli keluarga yang tinggal serumah atau rakan sekerja.

"Kebanyakan mereka tidak keluar rumah kecuali untuk buat pemeriksaan kesihatan (medical check-up)," kata sumber.

Keadaan pesakit memburuk lebih pantas

Malaysiakini difahamkan hospital akan memasukkan setiap ibu mengandung yang positif ke dalam wad kerana mereka berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan.

Mereka juga diberi keutamaan dalam penempatan di ICU.

Bagaimanapun, memandangkan Hospital Sungai Buloh sudah sesak dengan pesakit, kakitangan kesihatan bimbang dengan peningkatan kes baru Covid-19.

Kebimbangan itu diburukkan apabila doktor mendapati keadaan pesakit yang mengandung memburuk dengan lebih cepat berbanding sebelumnya.

"Berdasarkan pengalaman, seorang pesakit dirujuk kepada kami dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dalam Kategori 1 atau 2, tetapi ada sebahagiannya yang sudah dalam Kategori 3 atau 4 ketika dalam wad.

"Keadaan memburuk sangat cepat. Jadi kami tidak ambil risiko dan terus masukkan pesakit-pesakit ini walaupun mereka dalam Kategori 1 dan 2."

Seorang lagi sumber berkata, dengan bilangan kes yang meningkat, ibu mengandung terpaksa menunggu untuk dimasukkan ke dalam ICU.

"Ibu mengandung sentiasa jadi keutamaan. Tetapi ada kala mereka perlu menunggu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa ibu mengandung untuk sentiasa mengamalkan langkah pencegahan dan mendapatkan vaksin Covid-19 untuk melindungi diri mereka.

"Virus sudah pun dalam komuniti kita. Patuh kepada SOP dan duduk di rumah.

"Nasihat saya, elakkan tempat awam dan tertutup dan dapatkan vaksin," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malaysiakini juga telah meminta data melibatkan kes ibu mengandung positif daripada Kementerian Kesihatan.

Pada 5 Julai lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata terdapat ibu mengandung yang sudah berada dalam Kategori 4 yang dimasukkan ke hsopital.

Dia juga berkata data berkenaan kes ibu mengandung akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Menurut Dr Adham, rawatan terhadap ibu mengandung dan kandungannya memerlukan protokol rawatan dan perubatan yang khusus.

[Baca berita asal]