'DEB penting kerana kekayaan masih tertumpu pada kumpulan tertentu'
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah polisi inklusif yang pertama diwujudkan dengan matlamat membasmi kemiskinan, progresif, dinamik dan selaras dengan hak asasi manusia.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Abdul Halim Husin, berkata terdapat dua teras dalam DEB yang memberi tumpuan terhadap usaha membasmi jurang kemiskinan antara kaum dan menyusun struktur ekonomi dalam usaha memastikan Bumiputera dapat memainkan peranan dalam ekonomi moden.
Malah, katanya, selepas 50 tahun, DEB berjaya membasmi kemiskinan dengan ketara dan cukup pantas.
"Sekali gus, menjayakan pengagihan kekayaan negara merangkumi semua kawasan dan kaum khususnya untuk orang Melayu dan Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kata Abdul Halim pelaksanaannya tetap ada kelemahan khususnya dalam menyumbang kepada peningkatan jurang pendapatan.
"Di sini adalah permasalahan yang wujud akibat kelemahan pelaksanaan dasar dan interpretasi dasar. Malah sasaran yang dikejar tidak berdasarkan kajian mana-mana pakar. Ditambah pula dengan gejala rasuah dan alibaba yang menyebabkan ketirisan. Hasilnya jurang pendapatan antara kaum terus meningkat dan juga intra kaum," katanya.
Menurut Abdul Halim, serangan terhadap DEB adalah tidak berasas kerana kriteria yang sering digunakan adalah sasaran 30 peratus ekuiti yang belum dicapai.
"Tidak dinyatakan sasaran pendapatan isi rumah, kekayaan untuk mana-mana kaum malah jurang semua ini di antara kaum juga tidak dinilai.
"Persepsi ini bermotifkan politik untuk menidakkan matlamat DEB yang belum mencapai matlamat. Persepsi ini dimainkan oleh mereka yang berkepentingan dan memberi kesan negatif pada hubungan kaum tanpa melihat pada hakikat sebenar. DEB juga dikaitkan dengan pemberian kuota biasiswa.
"Tidak membantu apabila dasar ini disalahguna oleh mereka yang menerima faedah apabila kelebihan yang diberi dijual kepada orang lain atau sering gagal,"katanya.
Justeru, Abdul Halim berkata kelemahan pelaksanaan DEB dan kegagalan mengurus persepsi tentang objektif DEB mungkin memberi kesan pada hubungan antara kaum.
"Penentang DEB masih terus giat memberi hujah dan penerangan kenapa DEB gagal dan tidak lagi diperlukan.
"DEB telah ditamatkan tetapi digantikan dengan dasar-dasar lain yang hampir sama. Bagaimana pula kesan dasar-dasar ini terhadap hubungan etnik?
"Apakah dasar-dasar yang sama? Apakah ia berkaitan dengan dua strategi utama DEB untuk basmi kemiskinan dan mengurangkan identikasi ekonomi berdasarkan kaum? soalnya.
Kata Abdul Halim, saban tahun terdapat gesaan agar dasar-dasar berasaskan kepentingan kaum diteruskan atas alasan orang Melayu masih gagal bersaing seperti diharapkan.
"Orang Melayu bukan tidak mampu atau boleh bersaing. Realiti selepas 60 tahun kita sudah melihat sebilangan besar oramg Melayu dan Bumiputera boleh dan mampu dan sedang bersaing.
"Permasalahanya kita bermula dengan baseline yang jauh lebih rendah. Kita mempunyai keadaan di mana secara sistemik mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk gagal akibat jurang pendapatan dan jurang kekayaan antara kaum," katanya.
Justeru, Abdul Halim berkata DEB perlu perhalusi dan memahami ekosistem yang memerlukan bantuan yang strategik dengan mengambil kira kesan sosio-ekonomi pandemik Covid-19.
Mengakui bantuan sama rata perlu diberikan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, namun katanya ia bukan alasan kekayaan negara tertumpu di kalangan kumpulan tertentu.
"Pembangunan komuniti ekonomi Bumiputera penting. Bantuan sama rata perlu diberi bagi mereka memerlukan. Kemiskinan tidak mengenal warna kulit.
"Tapi ini bukan alasan untuk biarkan kekayaan negara tertumpu di kalangan kumpulan tertentu atau didominasi mana mana kaum. Kena bezakan persoalan membasmi kemiskinan dan keadilan ekonomi yang memerlukam dasar yang menggalakkan pengagihan. Kekayaan yang menyeluruh," katanya.
Bagaimanapun, tambah Abdul Halim hakikat yang sering gagal diamati oleh penentang DEB adalah di sebalik DEB dan dasar yang digunakan untuk menyusun semula ekonomi, kekayaan masih tertumpu di kalangan 5 peratus yang didominasi kumpulan tertentu.
DEB atau dasar sepertinya perlu difahami semula berdasarkan objektif yang sebenar, katanya.
"Kita sering merasa DEB punca masalah antara kaum, realitinya proses penyusunan ini belum berakhir dan pelaksanaan mempunyai kelemahan yang perlu dibaiki.
"Dan ini bukan terhad pada dasar ekonomi tanpa melibat banyak lagi komponen seperti sistem sosial, pendidikan kita yang juga tidak memangkin perpaduan kaum.
"Diskriminasi kaum masih berlaku dalam pengambilan pekerja dan pemberian gaji yang wajar dengan membiarkan pasaran bebas menentukan segala-galanya dan mengurangkan fungsi kerajaan hanya akan terus memusatkan kuasa ekonomi pada kumpulan tertentu.
"Cuba kita bayangkan jika tidak ada DEB dan dasar yang sepertinya? Jangan bakar kelambu kalau marahkan nyamuk. Kita baiki kelambu kalau kita nak semua tidur nyenyak," tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai