Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksinasi: Annuar harap ibu kota KL dapat dibuka lebih awal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengharapkan supaya ibu kota negara dapat dibuka lebih awal dan menjalankan aktiviti seperti biasa selepas penduduknya selesai divaksin dalam jumlah yang tertentu.

Menjelaskan ciapannya itu kepada Malaysiakini, Annuar berkata perkara itu akan disyorkan kepada Majlis Keselamatan Negara.

“Itu cuma pengharapan. Harus tunggu MKN buat keputusan… Hal ini akan disyor,” katanya melalui pesanan Whatsapp.

Beberapa mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 4 hari sejak 3 Julai hingga 16 Julai.

Terdahulu, Annuar berkata tidak mustahil ia dapat dilaksanakan sekiranya jumlah tertentu penduduk warga ibu kota selesai divaksinasi.

“Tidak mustahil untuk kita membuka ibu kota lebih awal apabila sejumlah tertentu warga ibu kota sudah selesai vaksinasi.

“Jika itu terjadi, tidak mustahil hanya mereka yang sudah disuntik sahaja bebas bergerak menjalankan aktiviti, sementara yang belum, perlu kawal dan dihadkan pergerakan,” ciapnya di Twitter hari ini.

Setakat 10 Julai, laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan seramai 1,398,957 (78.9 peratus) yang telah selesai dos pertama vaksin.