Isu doktor kontrak: Kabinet akan putuskan minggu ini - Dr Adham
Pihak berkepentingan akan memantau mesyuarat kabinet Rabu ini, ekoran isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap dengan harapan kerajaan akan membuat keputusan mengenainya dengan kadar segera.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ketika dihubungi berkata dia juga percaya satu keputusan menang-menang akan dicapai antara kerajaan dan doktor kontrak.
"Kami akan membawa isu ini ke kabinet. Kita perlu menyampaikan memorandum itu kepada menteri kabinet.
"Kita perlu mencapai keputusan dan penyelesaian untuk kepentingan kedua-dua pihak," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga turut mengesahkan keputusan mengenai isu tersebut akan diputuskan dalam masa seminggu.
"Tunggu pengumuman minggu ini," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.
MMA 'optimis'
Terdahulu, wakil MMA Wilayah Persekutuan dan juga pakar bedah Dr Timothy Cheng memberitahu media bahawa Adham dan Noor Hisham telah bersetuju untuk doktor kontrak harus dibenarkan untuk menjadi doktor pakar.
Namun, keputusan muktamad terletak pada mesyuarat kabinet minggu ini.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr M Subramaniam berkata dia juga "optimis" terhadap perkembangan semasa isu terbabit.
"Selepas pertemuan terakhir dengan menteri kesihatan dan ketua pengarah, saya optimis sesuatu akan berlaku."
"Tidak semuanya, tetapi lebih baik ada sesuatu daripada tidak ada apa-apa," katanya semasa sidang media dalam talian.
Selain Adham dan Noor Hisham, MMA turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Mesyuarat kabinet minggu ini dijangka menghadapi tekanan bagi menangani isu pegawai dan doktor kontrak.
Ini kerana sebilangan besar doktor dan pegawai kontrak itu kini menjadi petugas barisan hadapan dalam membendung wabak Covid-19.
Bagaimanapun, pegawai perubatan kontrak tidak mempunyai jaminan kerja dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, ahli farmasi junior kontrak dibayar gaji lebih rendah daripada mereka yang berjawatan tetap.
Kedua-dua MMA dan gerakan yang digelar Hartal Doktor Kontrak (mogok doktor kontrak) telah melancarkan kempen serentak mengenai isu ini.
Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) dalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Vijay Ganasan berkata berdasarkan pemantauan, lebih 15,000 kakitangan kesihatan tetap dan kontrak menunjukkan solidariti mereka.
Mengulas tawaran kerajaan untuk melanjutan kontrak selama setahun kepada doktor junior bagi pengambilan Disember 2016, supaya mereka dapat terus berkhidmat dalam membendung wabak Covid-19, Vijay berkata ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Sistem penjagaan kesihatan ketika ini tenat. Kita perlu perbaiki sistem kesihatan kita.
"Jadi, untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan, kita memerlukan penyelesaian jangka panjang yang tepat dan oleh itu saya tidak akan terima tawaran tersebut sebagai penyelesaian untuk masalah ini," katanya.
Sistem kontrak mengehadkan pegawai perubatan kepada perkhidmatan selama lima tahun dalam sektor awam, selepas itu mereka perlu ke sektor swasta atau menyertai latihan kepakaran sendiri.
Skim itu diperkenalkan pada 2016 dikatakan untuk menangani masalah terlalu ramai graduan perubatan.
MMA melancarkan kempen “Code Black” dari 1 Julai hingga hari ini bagi menggalakkan orang ramai menukar gambar profil dalam media sosial mereka kepada hitam putih atau satu warna sebagai menyokong doktor kontrak.
Orang ramai turut diminta pergi bekerja dengan berpakaian hitam hari ini sempena hari terakhir kempen itu.
Selain gerakan 'kod hitam' dalam talian, MMA hari ini turut melancarkan petisyen dalam talian untuk terus mendesak kerajaan supaya memenuhi tuntutannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai