Polis siasat aktivis politik lepas persoal pematuhan SOP Muhyiddin di FB
Aktivis politik Lawrence Jayaraj disoal siasat oleh pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung catatan Facebook yang dibuatnya pada April mengenai pematuhan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Lawrence mengatakan bahawa catatan Facebook itu adalah pada 2 April di mana dia menyiarkan gambar Muhyiddin makan bersama sekumpulan orang.
Dalam catatan itu, Lawrence mempersoalkan adakah presiden Bersatu itu mematuhi SOP.
"Menurut mereka, itu berita palsu ... Laporan terhadap saya dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya dalam catatan Facebook.
Lawrence, yang merupakan suami Ketua Wanita PKR Sarawak, Agnes Padan, berkata tiga pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah Lawas dan tiga pegawai SKMM dari Kuching datang di rumahnya di Lawas, Sarawak.
Lawrence mengatakan dia kemudian diminta menghadirkan diri di ibu pejabat polis daerah Lawas di mana dia disoal siasat dan telefon bimbitnya dirampas.
Negara berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP) pada bulan April di mana makan di restoran dibenarkan, tetapi dengan jumlah yang terhad setiap meja.
Lawrence menyatakan kebimbangan bahawa para petugas dari Kuching telah melakukan perjalanan di zon merah Covid-19.
"Saya akan mempertanggungjawabkan (Menteri Komunikasi dan Multimedia) Saifuddin Abdullah secara peribadi sekiranya saya dan keluarga terdedah kepada Covid-19 kerana siasatan ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai