Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbincangan sulit antara Lim dan 2 ahli perniagaan pada 2017 - Saksi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengadakan perbincangan sulit pada jam 2 pagi pada Ogos 2017, kata aktres K Geethanjali Gausillia.

Saksi pertama pendakwaan itu memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan rasuah terhadap bekas menteri kewangan itu berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Dia memberi keterangan bahawa perbincangan sulit itu bukan hanya melibatkan Lim dan Zarul, malah turut disertai suaminya, G Gnanaraja yang juga seorang ahli perniagaan.

Zarul adalah pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, kontraktor utama untuk projek terowong bawah laut berkenaan.

Dia juga merupakan saksi utama pendakwaan.

Gnanaraja kini menghadapi tuduhan jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berkaitan projek berkenaan.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Geethanjali memberi keterangan bahawa Lim dan Zarul mengadakan perbincangan sulit dengan Gnanaraja di rumah pasangan itu di Petaling Jaya, Selangor, pada bulan Ogos 2017.

Semasa membaca keterangan saksi bertulis, saksi berusia 35 tahun itu berkata suaminya mengejutkannya pada jam 2 pagi apabila Lim dan Zarul datang ke rumah mereka.

Dia memberi keterangan bahawa dia kemudian mengejutkan ibunya, dan kemudian mereka berdua meninggalkan bilik tidur dan turun ke tingkat bawah rumah mereka, di mana Gnanaraja memperkenalkannya kepada Lim dan Zarul.

Geethanjali memberi keterangan kepada Zarul kemudian mengambil gambar Gnanaraja, dia, ibunya, dan Lim di dalam rumah berkenaan.

Dia mengatakan bahawa melalui telefon bimbit milik Zarul, kira-kira 6 hingga 7 gambar diambil di kawasan rumah itu, dengan Zarul kemudian menghantar gambar tersebut kepada Gnanaraja.

Saksi itu mengatakan setelah gambar diambil, dia kemudian menyediakan minuman kepada kedua-dua tetamu berkenaan.

“Setelah mengambil gambar, lebih kurang 30 minit kemudian, suami saya minta saya dan ibu beredar kerana dia perlu membincangkan perkara sulit dengan YB Lim Guan Eng dan Datuk Zarul.

"Saya hanya mematuhi arahan suami dan kemudian ibu dan saya segera kembali ke bilik tidur untuk tidur semula.

"Saya mengesahkan selepas itu, saya tidak mengetahui maklumat apa yang dibincangkan dengan suami saya dan YB Lim Guan Eng pada malam itu, dan saya mengesahkan bahawa suami saya tidak pernah berkongsi maklumat lain yang melibatkan suami saya dan YB Lim Guan Eng," kata Geethanjali semasa pemeriksaan utama oleh DPP, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Saksi itu, yang juga seorang peniaga, mengatakan kepada hakim Azura Alwi bahawa setakat yang dia ingat, Lim hanya datang sekali ke rumahnya, dan Zarul beberapa kali datang ke rumah itu untuk tujuan perniagaan bersama suaminya.

“Saya tidak tahu apa perniagaan mereka dengan suami saya. Saya tidak menjemput Lim Guan Eng untuk datang ke rumah dan saya bukan peminat atau penyokong Lim Guan Eng.

"Saya mengambil gambar dengan YB Lim Guan Eng kerana suami saya meminta saya mengambil gambar dengan YB Lim Guan Eng untuk kenangan," katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo, Geethanjali mengakui bahawa dia tidak biasa bertemu dengan ahli politik pada masa lalu, dan adalah biasa untuk bergambar bersama mereka.

Saksi itu juga mengakui bahawa Gnanaraja kenal ramai ahli politik, dan mereka pernah mengunjungi rumahnya.

Gobind: Kamu beritahu mahkamah bahawa kamu bertemu Lim Guan Eng di rumah itu?

Geethanjali: Betul.

Gobind: Soalan saya kepada kamu adalah, adakah biasa bagi kamu bertemu dengan ahli politik?

Geethanjali: Sebelum ini, ya.

Gobind: Oleh itu, adakah perkara biasa apabila bertemu ahli politik, untuk ambil gambar bersama?

Geethanjali: Ya.

Mrengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 16 (A) (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM, Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan sebanyak RM3.3 juta sebagai dorongan bagi membantu syarikat milik Zarul untuk melaksanakan projek terowong bawah laut negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Komtar, George Town, Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM, sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi tuduhan kedua, juga di bawah Seksyen 16 (A) (a), Lim didakwa selaku ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, telah meminta suapan dari Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan untuk membantunya menjayakan projek berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Gardens Hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, antara jam 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.

Tuduhan itu yang dibuat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Lim juga menghadapi dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang, dilupuskan kepada dua syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan projek terowong bawah laut berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan itu, yang dibuat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, menetapkan hukuman penjara hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar, antara 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

[Baca berita penuh]