Uncle Kentang kesal wanita dipukul, dibogel ceti haram
Aktivis masyarakat yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng, mendedahkan pihaknya menerima aduan seorang wanita berusia 40-an dipukul dan dibogel selepas tidak mampu membayar hutang ceti haram atau 'ah long'.
Menurutnya, mangsa dari Kuala Lumpur itu sebelum ini bekerja di kedai perabot telah membuat pinjaman RM16,000 bagi menampung kos pengebumian mendiang ayahnya pada 13 Mei lalu.
"Dia sudah membayar sebahagian hutangnya termasuk kadar faedah, namun selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, mangsa tidak dapat bekerja sekali gus hilang sumber pendapatan.
"Susulan itu dia tidak mampu untuk terus membayar baki hutang tersebut. Mangsa kemudiannya diculik dan dibawa ke tempat yang tidak diketahui sebelum dipukul dan dibogelkan pada minggu lepas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Kuan berkata, mangsa tampil memohon bantuan agar perkara itu diselesaikan selepas diugut oleh kumpulan ceti haram tersebut.
Katanya, mangsa juga enggan membuat laporan polis kerana bimbang gambar bogelnya disebarkan dan dia kini berada dalam keadaan takut serta trauma.
"Saya akan cuba untuk selesaikan kes ini pada hari ini juga," katanya.
Sehubungan itu aktivis yang dikenali sebagai Uncle Kentang itu berpesan agar orang ramai yang dalam kesusahan tidak membuat sebarang pinjaman dengan ceti haram.
"Saya menyeru kepada mereka yang memerlukan bantuan agar menghubungi kami atau mana-mana agensi amal untuk mendapatkan bantuan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai