Lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai cuba curi kabel
Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pencawang utama Batu Tiga, Shah Alam, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata dalam kejadian pada 2.47 petang itu, sepasukan juruteknik TNB membuat pemeriksaan selepas mendapat laporan mengenai bekalan elektrik terputus di pencawang berkenaan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati pencawang elektrik di dalam kawasan sebuah kilang yang ditutup itu diceroboh dan satu daripada alat suis telah dirosakkan.
“Pasukan juruteknik itu kemudian menjumpai lelaki terbabit yang masih hidup tetapi dalam keadaan melecur hampir seluruh bahagian badan sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Abd Khalid berkata lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu dilapor meninggal dunia semasa menerima rawatan disebabkan second degree burn selain disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati lelaki yang mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah harta benda dan dadah itu bertindak memotong pagar kilang bagi menceroboh kawasan berkenaan.
Katanya, kejadian itu menyebabkan sebahagian fius dan kabel terbakar dengan kerugian dianggarkan bernilai RM60,000.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai